Kelab Hoki Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan Kejohanan Hoki 6’s UTHM Terbuka Bawah 11 tahun Edisi Kedua, Piala YB Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada 31 Ogos hingga 2 September akan datang bertempat di Padang Hoki, kampus induk.

Pertandingan anjuran bersama Pejabat Pendaftar UTHM, Pusat Sukan UTHM, Pejabat Ahli Parlimen Sri Gading, Batu Pahat, Johor dan Persatuan Hoki Johor ini merupakan sebahagian daripada acara bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-25 UTHM pada tahun ini.

Sebanyak 72 pasukan akan berentap pada tahun ini berbanding 50 pasukan pada edisi pertama tahun lalu yang mana melibatkan 37 pasukan lelaki dan 35 pasukan perempuan dari sekitar negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kejohanan yang dianjurkan dalam format berkumpulan sebelum pusingan kedua akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu Gold Pool dan Silver Pool. Pertandingan ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM6,600.00 dan yang lebih menarik penganjur turut menawarkan hadiah sampingan kategori Pemain Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Penjaring Gol Terbanyak sepanjang kejohanan ini.

Pengarah kejohanan, Shahrul Md Rizal Shamshuri berkata penyertaan kejohanan edisi kedua ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga memaksa penganjur menolak penyertaan beberapa pasukan akibat daripada kesuntukan masa.

“Padang Hoki UTHM akan menjadi saksi bagi kejohanan kali kedua ini yang  membawa imej kejohanan edisi pertama lalu dan dijangka akan mendapat sambutan yang luar biasa pada kali ini,” katanya.

Menurutnya lagi walaupun kejohanan ini dianjurkan bagi pertandingan di bawah 11 tahun peringkat sekolah rendah namun ia berupaya diangkat sebagai bertaraf kebangsaan.

“Objektif utama penganjuran kejohanan ini ialah sebagai platform pendedahan yang berharga kepada anak-anak cilik ini dalam membantu memperkasakan dan mencungkil bakat baharu bagi pembangunan dan kemajuan sukan hoki di Malaysia,” jelas beliau lagi.