Raihanah Khairudin,Pengarah Progra(kiri)Atas dasar keprihatinan yang tinggi dan selaras dengan misi ‘Negaraku Prihatin,’ mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu misi bantuan kemanusiaan yang diberi nama Projek Sukarelawan Siswa UTHM ‘Heal Rohingya’ @ HERO dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada 9 hingga 14 Oktober 2017 lalu.

P_20171011_113550

Bagi mencapai objektif misi tersebut, pasukan sukarelawan yang terdiri daripada Raihanah Khairudin,22  Nur Salsabilah Hamdan, 23 Siti Syuhada Abdul Latiff,23 dan Raziff Buyong, 23 pelajar tahun akhir Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan (FPTP) ini telah turun ke lokasi Kem Pelarian Rohingya Balukhali, Khutupalong & Jamtuli, Cox’s Bazar, Bangladesh untuk menghulurkan bantuan.

Terdahulu objektif projek ini adalah bertujuan untuk menyalurkan sumbangan daripada warga UTHM serta komuniti setempat terus kepada pelarian Rohingya di kem penempatan sementara pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Sebagai permulaan, jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya dikumpul dan diserahkan adalah sebanyak RM3,250 bersamaan 62,075 Tk selain sumbangan daripada UTHM sendiri berupa khemah penempatan, telaga air dan makanan bernilai RM15 ribu.

Untuk rekod, jumlah pelarian Rohingya yang menetap di kem ini dianggarkan telah mencecah seramai 1.4 juta orang. Jika dibandingkan dengan kawasan kem penempatan yang luasnya hanya 700 ekar, jumlah tersebut tidak dapat menampung kebajikan penghuninya sekali gus menjadikan penempatan tersebut sesak dan tidak selesa. Malah masih ada ribuan pelarian yang belum mendapatkan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di tepian jalan selama lebih dua minggu sambil menunggu ehsan orang awam yang melintasi kawasan tersebut untuk mendapatkan makanan atau wang ringgit bagi meneruskan kehidupan.

Rentetan daripada pengalaman menyayat hati ketika berada di kem pelarian ini, timbul satu kesedaran dalam kalangan pasukan sukarelawan ini untuk meneruskan misi bantuan seterusnya dengan menfokuskan kepada aspek pendidikan pula. Mereka memasang keinginan untuk mewujudkan satu dana bagi membantu umat Islam etnik Rohingya yang ditindas dengan menaja kelengkapan pembelajaran kanak-kanak di sana sekaligus membantu proses penambahbaikan pembinaan Madrasah di semua kem pelarian rohingya di Bangladesh.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, mereka mula menjalankan aktiviti kutipan sumbangan dan sambutan menggalakkan diterima daripada ramai pihak antaranya Persatuan Pengusaha Tadika Berdaftar Negeri Johor turut memberikan sumbangan wang bernilai RM30 ribu untuk Tabung Pendidikan Rohingya dalam satu majlis ringkas yang diadakan di FPTP pada 28 Mac lalu.

“Sumbangan ini merupakan satu kutipan yang besar dan permulaan yang baik untuk pasukan kami meneruskan lagi misi kemanusiaan ini. Dengan sokongan penuh yang diberikan oleh pihak fakulti dan universiti, program Bantuan Pendidikan Rohingya 2.0 akan dijalankan pada bulan Julai akan datang melibatkan puluhan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan staf fakulti,” kata Raihanah, Pengarah Program ‘Heal Rohingya’ @ HERO.

Menurutnya lagi, pasukan mereka akan terus bergerak dari masa ke semasa untuk meneruskan usaha mengutip dana bagi memastikan objektif program ini tercapai sekali gus dapat membantu mengurangkan kesusahan yang dialami oleh pelarian Rohingya.