Oleh Ts. Mohd Zairil Zainal
60 pendaki melibatkan staf dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menawan puncak Gunung Arong dalam Ekspedisi Pendakian Gunung Arong 2018 anjuran Kelab Staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KSUTHM) yang diadakan pada 3 Mac baru-baru ini.
Pendakian melibatkan kira-kira 45 minit ke puncak itu diharungi peserta dengan semangat yang tinggi manakala perjalanan turunnya pula mengambil masa kira-kira setengah jam. Semasa menuruni gunung, pendaki perlu melalui jalan pantai menuju ke Teluk Gorek Mersing bagi merasai pengalaman berbeza di samping meraih peluang menikmati keindahan pantai di Mersing, Johor.
Pengarah Program, Munirah Mohd Yusof melahirkan rasa syukur kerana peserta berjaya sampai ke puncak serta mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi. Dengan adanya program ini, ia dapat memberi ruang peningkatan diri serta kesedaran kepada staf akan kepentingan serta kelebihan aktiviti-aktiviti fizikal dan lasak. Selain itu, staf perlu mempunyai keseimbangan dari segi intelek dan fizikal agar dapat melahirkan pekerja yang cemerlang dari pelbagai aspek. Aktiviti pendakian ini juga dapat menambah pengetahuan peserta dan memberi penghayatan kepada mereka akan kepentingan pemeliharaan alam semulajadi.
Sementara itu Noradzuana Samiran, staf daripada Unit Audit Dalam UTHM berpendapat bahawa program sebegini dapat mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan staf UTHM serta dapat membantu staf untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja buat sementara waktu. Tambahnya lagi, program ini juga dapat memupuk sikap berfikiran positif serta tidak mudah berputus asa dalam kalangan staf.
Manakala Mohd Raminhizad Abd Razaman daripada Fakulti Kejuruteran Mekanikal dan Pembuatan pula berpendapat bahawa program ini telah berjaya menarik minat ramai staf UTHM yang semakin berjinak-jinak dengan aktiviti luar ekspedisi pendakian ini.
“Program ini baik untuk kesihatan fizikal dan mental peserta serta dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan peserta seperti hormat menghormati, sabar serta tolong menolong di antara satu sama lain,” katanya.
Di samping itu, Ketua Biro Sukan dan Rekreasi KSUTHM, Mohd Zairil bin Zainal juga menyatakan kejayaan kesemua peserta mengharungi cabaran pendakian Gunung Arong melambangkan kerjasama berpasukan yang tinggi dalam kalangan peserta.
“KSUTHM akan terus berusaha menganjurkan program – program seperti ini pada masa akan datang dan mengharapkan sokongan daripada staf UTHM untuk menyertainya,” tambahnya lagi.