BATU PAHAT 9 Jan – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan memperluas dan memanfaatkan sepenuhnya program Pembangunan Sistem Kelas Pintar (Smart Classroom) untuk menambah baik kemudahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) khususnya melalui teknologi tele-persidangan.
Antara kemudahan yang disediakan adalah kemudahan komunikasi secara interaktif antara bilik darjah dan dari pelbagai lokasi (mudah alih), panel sesentuh berdefinisi tinggi 4K untuk kegunaan multimedia, kamera dan sistem audio. Pembangunan kelas pintar dengan sistem pengurusan bilik darjah yang mesra pengguna yang dilaksanakan oleh UTHM sejak 2010 itu merupakan hasil kerjasama strategik antara UTHM dengan syarikat BenQ dan Projektor Doctor.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly berkata, selain mewujudkan bilik darjah yang mampu menampung pelbagai aktiviti pelajar sama ada secara individu dan berkumpulan, kewujudan Pusat Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global itu diharap dapat membantu pensyarah memanfaatkan teknologi yang ada sebagai pemangkin proses pendidikan.
“Pelaksanaan kelas pintar ini tidak hanya bergantung kepada kecanggihan peralatan teknologi semata-mata malah turut melibatkan ?susun atur dan pelaksanaan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel.
“Selain itu kaedah pengajaran ini diharap dapat mewujudkan pelajar yang berdaya pemikiran kreatif, kritis dan berupaya menyelesaikan masalah serta mampu berkomunikasi dengan efektif,” katanya
Wahid berkata, salah satu kaedah terkini adalah pelaksanaan P&P secara dalam talian sepenuhnya yang melibatkan interaksi antara pensyarah dengan pelajar tanpa bersemuka atau berada di dalam bilik kuliah.
Beliau berkata, pelaksanaan Kelas Pintar di universiti itu turut menarik perhatian Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan yang mahu program itu dijadikan model contoh dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).
“Pihak universiti menerima maklum balas yang sangat positif dari pihak kementerian semasa kunjungan mereka ke UTHM semalam,” katanya.
Taklimat PAK21 disampaikan oleh Ketua Pusat ?Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global UTHM, Zainal Abidin Sayadi yang turut dihadiri pihak pengurusan tertinggi universiti, tenaga pengajar dan pelajar.Timbalan Pengarah BTP, Mohd. Haliza Mohd Adnan berkata, ?selain mempunyai prasarana yang kondusif serta menepati ciri-ciri PAK21, Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global di UTHM juga telah ?membuktikan keupayaan sebagai pusat latihan dan khidmat nasihat berkaitan e-pembelajaran sejajar dengan Lonjakan 9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia–Pengajian Tinggi (2015–2025).
“Saya dimaklumkan bahawa bagi tahun 2017, pusat ini berjaya melaksanakan hampir 50 sesi latihan dan kursus berkaitan e-pembelajaran dengan penglibatan sebahagian besar staf akademik universiti.
“Latihan dan kursus yang disediakan berjaya memberi pendedahan kepada kaedah pembangunan bahan e-pembelajaran secara pantas dan juga perkembangan teknologi terkini dalam pendidikan,” katanya.
Antara pengiktirafan lain yang diterima oleh UTHM melalui Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global termasuk diberi kepercayaan sebagai pembangun sistem pendaftaran Realiti Berperantara (Augmented Reality) oleh institusi-institusi pengajian lain dalam Persidangan PAK21 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kolokium STEM Zon Selatan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan pada tahun lalu.