Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melangkah setapak lagi ke hadapan apabila berjaya memperolehi pengiktirafan lima bintang dalam lima daripada lapan kategori yang dinilai oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating.
Untuk rekod, QS Intelligence Unit adalah salah satu organisasi audit berprestij yang berpusat di London dan terkenal sebagai salah satu organisasi pengauditan universiti melalui QS World Ranking. Semenjak tahun 2010, unit ini telah membuat penilaian terhadap lebih 270 institusi dari 45 negara.
UTHM memperolehi lima bintang dalam kategori pengajaran, kebolehpasaran pekerjaan, fasiliti, tanggungjawab sosial dan inklusif (kerangkuman) sekali gus menunjukkan peningkatan bintang berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, keputusan lima bintang tersebut dicapai hasil kerjasama yang menyeluruh daripada warga universiti.
Kejayaan UTHM mendapat status empat bintang bagi markah keseluruhan untuk lapan kategori yang diaudit iaitu; penyelidikan, kebolehpasaran pekerjaan, pengajaran, fasiliti, pengantarabangsaan, tanggungjawab sosial, Inklusif serta kekuatan program: kejuruteraan sivil merupakan satu kejayaan yang sangat membanggakan jika dilihat dari sudut usia penubuhan universiti ini yang baru menjangkau dua dekad.
Keputusan audit ini sekali gus membuktikan keupayaan UTHM untuk bergerak setanding dengan universiti ternama lain di dalam dan luar negara serta membuktikan keupayaan UTHM untuk menjadi sebuah universiti bertaraf dunia pada masa akan datang.