Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program “Strategi Permata Diri” di bawah Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) berteraskan Universiti Community Engagement bersama pihak Kolej Vokasional Segamat dan Kolej Vokasional Batu Pahat, Johor pada 18 November lalu.
Program anjuran Kursus Pengurusan Diri Seksyen 1 Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum di bawah bimbingan Encik Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim telah melibatkan seramai 70 orang pelajar dalam kalangan tahun dua, tiga dan empat.
Program “Strategi Permata Diri” ini merupakan satu program berunsurkan kepimpinan mental dan fizikal ke arah persediaan kerjaya pelajar yang mana pengisian program ini menampilkan elemen pengurusan diri dalam membentuk ketersediaan pelajar dalam menempuh dunia pekerjaan kelak dengan memenuhi kehendak serta keperluan industri.
Penganjuran program ini juga bertujuan meningkatkan keyakinan diri para pelajar dalam cabaran dunia pekerjaan yang bakal ditempuhi mereka kelak sekali gus memperkenalkan UTHM dengan lebih dekat.
Pengajar Kursus Pengurusan Diri, Encik Mohd Hilmi Izwan berkata program itu juga bertujuan untuk meningkatkan hubungan di antara universiti dan masyarakat serta memberi sumbangan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat. Beliau berkata program sebegini mampu untuk membuka peluang dan ruang kepada universiti dan masyarakat untuk lebih erat khususnya dalam menjalinkan kerjasama serta hubungan ukhwah.
“Sepanjang program berlangsung, pelajar dapat mempelajari elemen–elemen yang perlu ada pada setiap pelajar dalam menempuh alam kerjaya kelak seperti berdikari, membuat keputusan dengan tepat, kerjasama dan komunikasi.”
“Antara yang menarik dikongsi bersama para pelajar adalah tips penyediaan resume dan pengalaman sesi temuduga secara realiti. Pengalaman yang diperolehi oleh pelajar ini membantu meningkatkan keyakinan pelajar untuk lebih bersedia kelak,” katanya