Pasukan Mendayung UTHM Barracuda, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengekalkan tradisi muncul pasukan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan terbaik di Kejohanan Varsity Boat Race 2017 peringkat antarabangsa yang telah berlangsung pada 3 hingga 7 Oktober 2017 bertempat di Bukit Merah LakeTown Resort Perak.

Pasukan Mendayung UTHM yang dibarisi pendayung-pendayung pelapis terdiri daripada pelajar-pelajar diploma Kampus Pagoh bergabung tenaga dengan beberapa orang pendayung senior berjaya membawa pulang dua pingat perak bagi acara W8+ (Women’s Eight Plus) dan acara W4- (Women Four Minus) serta satu pingat gangsa bagi acara Lw2x (Lightweight Women Double Scull).

Kejohanan Varsity Boat Race 2017 kali ini disertai oleh 21 universiti dari dalam dan luar negara. Dengan catatan 61 mata, Pasukan Mendayung UTHM telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi universiti tempatan dan tempat keempat keseluruhan dalam kategori antarabangsa.

Kejohanan yang berprestij tinggi ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh sempena sambutan Varsity Boat Race kali yang ke 10.

Ketiadaan pendayung utama Mohd Zulfadli Jusof telah menjejaskan sedikit peluang bagi pasukan UTHM untuk meraih pingat emas bagi acara Men Single Scull yang selama ini merupakan pemegang utama pingat emas bagi acara tersebut di Kejohanan Varsity Boat Race.

women 4-