Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2017 oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi untuk tempoh tiga tahun sehingga 30 September 2020.

Pelantikan Profesor Dr. Ismail adalah bagi mengisi jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM yang sebelum ini disandang oleh Profesor Dr. Wahid Razzaly yang telah tamat tempoh lantikannya.

Profesor Dr. Ismail, 59 sebelum ini merupakan Dekan Pusat Pengajian Siswazah selepas menjawat beberapa jawatan lain antaranya Dekan Pusat Pengajian Diploma, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Ketua Pejabat Penerbit dan Timbalan Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan.

Anak kelahiran Muar, Johor ini merupakan pemegang ijazah PhD dalam bidang kejuruteraan bangunan dari The University of Manchester, ijazah sarjana Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan Heriot-Watt University, Edinburgh dan sarjana muda Kejuruteraan Sivil dari UTM. Beliau turut berkongsi ilmu menerusi lebih dari 100 penerbitan artikel persidangan dan journal. Malah turut menerbitkan beberapa buku secara bersama dalam bidang berkaitan antaranya bertajuk Introduction to Lean Construction, Impact Energy of Hard Projectile for Local Damage of Concrete Slab: Penetration, Scabbing and Perforation of Concrete Slab, Causative Factors Of Construction Waste Generation In Malaysia dan Critical Success Factors in MICE Event Management. Selain dari itu, sebagai ketua editor bagi International Journal of Sustainable Construction Engineering and Technology dan juga sebagai Lembaga Penyunting untuk penulisan jurnal antarabangsa.

Sebagai seorang Profesor di fakulti, beliau telah berjaya menyelia ramai pelajar pasca siswazah dan turut bertindak sebagai panel pemeriksa untuk pembentangan akhir tesis pelajar dalam dan luar universiti. Profesor Dr. Ismail turut aktif dalam aktiviti penyelidikan menerusi sebagai Ketua Penyelidik dan juga Penyelidik untuk beberapa jenis geran termasuk Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dan Endowment Research Grant.

Beliau telah memulakan perkhidmatan dengan universiti sejak zaman Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) dan turut bergiat aktif dalam beberapa badan pertubuhan luar antaranya sebagai Presiden dan Ahli Korporat Persatuan Konkrit Malaysia (CSM) dan juga sebagai ketua perunding/consultant penyediaan teknologi untuk KKTM Sri Gading.

Seluruh warga UTHM mengucapkan tahniah di atas perlantikan tersebut dan diharapkan Profesor Dr. Ismail akan terus menyumbang idea dan kepakaran beliau demi mencapai Visi dan Misi di Universiti ini.

tncaa 2017