UTHM terima dana penyelidikan USD20,000 daripada Universitas Yarsi, Indonesia – tingkat kerjasama penyelidikan sains teknologi herba

Pagoh – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima dana penyelidikan sebanyak USD20,000 daripada Universitas YARSI, Jakarta, Indonesia dalam satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) yang diadakan pada 17 Ogos baru-baru ini yang bertempat di kampus UTHM Pagoh.

Sumbangan dana tersebut adalah bertujuan untuk menggalakkan dan mempromosikan penyelidikan sains dan teknologi herba, menggalakkan kolaborasi staf dan pelajar pra dan pasca-siswazah di antara dua universiti, penganjuran persidangan antarabangsa, penghasilan penerbitan bersama dan kerjasama lain yang dipersetujui oleh dua pihak.

Sesi menandatangani memorandum perjanjian ini diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razali manakala Universitas YARSI pula diwakili oleh Rektornya, Profesor Dr. Susi Endrini. MoA ini turut disaksikan oleh pendaftar UTHM Encik Abdul Halim Abdul Rahman, wakil rektor IV universiti tersebut, Dr. Vitri Tundjung Sari; Dekan Fakultas Teknik Infomatika, Dr. Ummi Azizah Rachmawati dan Ketua Pusat Penelitian Herba, Dr. Juniarti.

Untuk rekod, Universitas YARSI merupakan universiti islam swasta yang terletak di Cempaka Putih, Jakarta, Indonesia. Universiti ini telah ditubuhkan oleh Yayasan Rumah Sakit Islam Indonesia (YARSI) pada 15 April 1967. Kini terdapat lima fakulti di Universitas YARSI iaitu Fakultas Kedokteran, Fakultas Teknologi Informasi, Fakultas Ekonomi, Fakultas Hukum dan Fakultas Psikologi serta sekolah Pascasarjana. Di Universitas YARSI juga terdapat Herbal Research Centre yang menjalankan penyelidikan berkaitan dengan sains, teknologi dan perubatan herba. Pada masa ini, Universitas YARSI berada di kedudukan 122 dari lebih kurang 4000 institusi pengajian tinggi negeri (awam) dan swasta seluruh Indonesia.

Bagi menyambut komitmen padu dari Universitas YARSI, UTHM turut mengeluarkan dana padanan (matching grant) untuk aktiviti yang berkaitan dengan MoA ini. UTHM melihat jalinan kerjasama dengan Universitas YARSI ini juga mampu merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pendidikan serta perundingan di antara dua pihak. Kerjasama ini juga akan meningkatkan lagi pembangunan dan pelaksanaan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk herba disamping pembangunan program Ijazah Sarjana (Sains dan Teknologi Herba) secara berkembar di antara dua negara.

yarsi