21 JUN 2017 – bertempat di Bilik Seminar, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung Majlis Penutupan Program Corporate Social Responsibility (CSR) anjuran staf wanita FPTV dengan tema, “Dari Wanita Kepada Wanita untuk Wanita.’
Program tersebut merupakan siri ke-2 selepas dimulakan pada 2016. Pada tahun ini, program yang bermula pada 27 Mei 2017 bersamaam 1 Ramadan 1438H telah menggerakkan kutipan wang dalam kalangan warga FPTV dan UTHM serta kaum keluarga AJK terlibat untuk disumbangkan kepada kaum wanita yang bekerja di FPTV dan UTHM.
Menurut Pengerusi Program Puan Hajah Afizah Omar, beliau bersama 10 AJK wanita yang lain mengambil inisiatif untuk melaksanakan program CSR dengan fokus kepada golongan wanita kerana berpendapat bahawa golongan tersebut lebih memerlukan bantuan sempena sambutan hari raya.
‘Bukan kami tidak melibatkan kaum lelaki dalam usaha CSR tersebut, mereka terlibat terutamanya daripada segi memberi sumbangan, cuma kami mengetengahkan tema wanita kerana kami ingin turut serta memainkan peranan utama dalam aktiviti CSR fakulti dan Universiti,’ katanya.
Program CSR Wanita FPTV telah berjaya mengumpul wang berjumlah RM2000 dan telah diagihkan kepada 11 orang pekerja wanita daripada Perkhidmatan Pembersihan di UTHM. Tiga daripadanya dari Fakulti Sains Teknologi Komputer dan Maklumat (FSKTM), dua odari FPTV, empat daripada Kolej-Kolej Kediaman dan masing-masing seorang daripada pekerja Blok C1 dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).
Turut diadakan Majlis Berbuka Puasa FPTV yang dihadiri Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Wahid Razzaly; Dekan FPTV, Profesor Dr Ahmad Esa, Pengerusi Kelab Staf  FPTV, Dr Noorazman Abd Samad, kepimpinan FPTV dan staf berserta ahli keluarga masing-masing.