Beriltizam untuk menjadi sebuah Kolej Lestari dan memberi sumbangan sebaiknya kepada alam sekitar, Kolej Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus berusaha gigih mengusahakan aspek kelestarian dalam segenap tindakannya. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, seluruh peringkat merangkumi kepimpinan Kolej, barisan kepimpinan pelajar dan warga penghuni, bersama-sama berganding bahu menjayakan pelbagai inisiatif kelestarian demi kebaikan bersama.
Menerusi Konvensyen Kampus Lestari (KKL) 2017, Kolej Perwira UTHM sekali lagi melakar nama dan berjaya membawa nama UTHM ke peringkat nasional apabila mendominasi KKL 2017 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM dan Kolej Ibu Zain UKM, yang telah berlangsung pada 22 dan 23 Mei 2017. Dengan tema, “Kampus Lestari Pemacu Pembangunan Lestari”, pelbagai pertandingan antaranya pertandingan poster teknikal kelestarian, pameran kelestarian dan pembentangan lisan kelestarian yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) telah berlangsung.
Kolej Perwira UTHM berjaya mengekalkan kejuaraan dan penguasaan dalam Pertandingan Poster Teknikal Kelestarian apabila dua poster dengan tema Wuduk Horizontal Vertical Garden (WHOVER) oleh Pravin Kumar A/L Sukumaran (Tahun 3 FKEE) dan Muhammad Shueib Mohd Shuhaimi (Tahun 2 FKAAS) dan Upcycling Project in Perwira oleh Muhd Azif Mansor (Tahun 2 FKEE), masing-masing berjaya menjadi johan dan naib johan bagi pertandingan ini. Menampilkan tema “Kolej Perwira ke Arah Kolej Kediaman Karbon Rendah”, ruang pameran Kolej Perwira yang tidak putus-putus menerima pelawat juga telah berjaya mencuri perhatian juri dan dinobatkan sebagai naib johan untuk Pertandingan Pameran Kelestarian. Ruang pameran ini adalah hasil usaha Wan Hafizi Wan Mohamad (Tahun 2 FKEE), Muhd Azif Mansor (Tahun 2 FKEE) dan Ahmad Afiq Ahmad Shadli (Tahun 1 FKEE). Manakala gandingan mahasiswa Pravin Kumar A/L Sukumaran (Tahun 3 FKEE) dan Muhammad Shueib Mohd Shuhaimi (Tahun 2 FKAAS) berjaya mendapat tempat ketiga bagi Pertandingan Pembentangan Lisan Kelestarian dengan tajuk pembentangan mereka ialah Inovasi Kelestarian.
Mengulas kejayaan ini, Pengetua Kolej Perwira Profesor Madya Dr Afandi Ahmad menjelaskan bahawa usaha menjadikan Kolej Perwira sebagai Kolej Lestari telah dan sedang giat diusahakan. Ini adalah bagi mendidik para penghuni akan pentingnya konsep kelestarian agar kelak apabila mereka menjadi ahli profesional selepas tamat pengajian, amalan-amalan kelestarian tersemat dalam diri dan dilaksanakan. Selain itu, menerusi pertandingan seperti ini para peserta dapat diasah bakat kepimpinan, kerja berpasukan dan menajamkan kemahiran komunikasi mereka. Perkara ini adalah signifikan dalam usaha membentuk pengalaman pembelajaran berkesan di luar dewan kuliah bagi menyediakan mereka menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 yang begitu hebat cabarannya. Semoga usaha ini dapat memberikan impak positif bukan sahaja kepada warga Kolej Perwira malah UTHM juga terutama berhubung kesedaran kepentingan aspek kelestarian dalam kehidupan seiring dengan matlamat UTHM untuk menjadikan kampus UTHM sebagai Kampus Lestari.