Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mendahului Program Mobiliti Outbound Pelajar dalam melaksanakan Latihan Industri Berkredit dengan kerjasama Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Indonesia bagi tahun 2017.
Menurut Dekan FPTV, Profesor Dr. Ahmad Esa, seramai tujuh orang pelajar Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Elektrik dan Elektronik) terlibat dalam melaksanakan program ini yang bermula pada 16 Januari sehingga 11 Februari 2017.
“Ini merupakan satu usaha kami untuk memberikan pengalaman mahasiswa yang akan menjadi guru kemahiran dalam menimba pengalaman dan pengetahuan di peringkat antarabangsa. Ia juga merupakan program mobiliti latihan industri berkredit yang pertama bagi FPTV dan ianya akan kita teruskan di masa akan datang,” katanya.
Perlaksanaan program ini merupakan kerjasama yang melibatkan dua syarikat utama iaitu Syarikat CV Global Technindo dan CV Utilindo Perkasa, Yogyakarta yang melaksanakan perniagaan dalam bidang kejuruteraan elektrik. Antara jenis kerja yang dilaksanakan ialah mereka bentuk sistem pendawaian bangunan, pemasangan dan servis sistem, mereka bentuk sistem panel kawalan elektrik satu dan tiga fasa serta pengujian sistem hydrant. Syarikat ini juga melaksanakan kerja kejuruteraan mekanikal yang digabungkan dengan pengurusan tender.
Sepanjang program berlangsung, pelajar yang terlibat diberikan pendedahan dan peluang untuk menimba pengalaman selain diberi tanggungjawab untuk melakukan tugas yang sebahagiannya banyak melibatkan badan – badan kerajaan dan swasta yang menjadi pelanggan mereka.
“Banyak pengalaman yang mereka perolehi bukan sahaja dari segi peningkatan ilmu pengetahuan, malah dapat mempelajari pengurusan sesuatu kerja dan kontrak sehingga ke tahap proses penyerahan dan pembayaran.”
“Di samping itu, pihak syarikat mementingkan pendidikan rohaniah kepada setiap pekerjanya di mana setiap hari Jumaat diadakan program tazkirah dan sesi mengeratkan perhubungan bersama pihak pengurusan,” jelas Profesor Dr. Ahmad.
Pihak pengurusan FPTV mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat, juga kepada Timbalan Dekan HEPA, Dr Hj. Jamil Abd Baser, Ketua Jabatan Latihan Mengajar dan Latihan Industri, Dr. Azman Hasan dan Penyelaras Latihan Industri, Encik Fairuz Marian yang bertanggungjawab untuk menjayakan program ini.
Begitu juga dengan pihak pengurusan Fakultas Teknik, Universitas Yogyakarta (UNY) yang banyak memberikan sumbangan dan komitmen yang tinggi terutamanya Dekan, Dr Widarto, Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Dr Muhamad Khairudin Sulaiman serta Ibu Dewi, Pensyarah serta pegawai Pejabat Antarabangsa UNY.