19 Disember – Kolej Kediaman merupakan tempat penginapan pelajar yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan untuk kegunaan pelajar bagi meningkatkan pembangunan akademik dan pembangunan modal insan. Menyedari kepentingan Kolej Kediaman dalam pembangunan pelajar UTHM, Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UTHM telah menganjurkan Anugerah Kolej Kediaman 2016 (AKK’16) bagi mengiktiraf dan menghargai komitmen serta prestasi cemerlang Barisan Kepimpinan Kolej Kediaman dalam menganjurkan program-program demi pembangunan mahasiswa.

Bertemakan “Pahlawan dan Srikandi”, anugerah kali ketiga dianjurkan ini berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim UTHM dan telah disempurnakan oleh YB Datuk Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Menteri Mentor UTHM. Sebanyak 14 buah anugerah berprestij telah dipertandingkan dan acara telah diadakan dengan penuh gilang gemilang.

Pengarah Program, Encik Khairulakmal Kamaludin berkata anugerah ini merupakan platform yang sangat sesuai bagi menggalakkan pelajar UTHM untuk menglibatkan diri dengan aktif di dalam universiti di samping memberikan motivasi dan dorongan kepada Barisan Kepimpinan Kolej Kediaman agar berusaha lebih gigih dan tekun bagi menghasilkan penganjuran program yang lebih baik. Pada kali ini, buat pertama kalinya satu anugerah Khas iaitu “Anugerah WOW Factor Kolej Kediaman Terbaik” dipertandingkan bagi tujuan memilih Kolej Kediaman yang mempunyai keunikan yang tersendiri yang berbeza dengan mana-mana kolej kediaman lain yang ada di UTHM atau universiti di Malaysia.

Sementara itu Profesor Dr. Wahid bin Razzaly, Menjalankan Fungsi Sebagai Naib Canselor UTHM dalam ucapannya berkata AKK’16 perlu dijadikan sebagai satu medium bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kolej kediaman dan berharap ia akan membantu UTHM menjadi sebuah institusi yang mapan dan dipandang tinggi dalam pelbagai bidang di peringkat lokal dan global.

Majlis anugerah tersebut menyaksikan Kolej Kediaman Perwira telah dinobatkan sebagai Kolej Kediaman Terbaik 2016 dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500, Piala Pusingan serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTHM, Prof. Madya Dr. Asri Selamat dan Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UTHM Profesor Madya Dr Mohd Rizal Madar serta pengawai-pegawai kanan universiti.