Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UTHM telah menyertai satu lawatan kerja berkaitan pengurusan bencana ke Banda Aceh, Indonesia yang melibatkan Kor SISPA dari empat buah universiti awam (UA) dan satu universiti swasta (US).
Program anjuran Jabatan Pertahanan Awam Malaysia ini melibatkan empat orang wakil dari SISPA UTHM iaitu Kapten Bersekutu (PA) Ng Wee Fern, Leftenan Muda (PA) Mohamad Iskandar Roslan dan Leftenan Muda (PA) Nur Faizura Ahmad Fuadi dan PKS Senior Nurul Afiqah Roslan. Selain itu, lawatan ini turut melibatkan seorang pegawai daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), lima orang pegawai UA, seorang pegawai US dan 12 lagi Pegawai Kadet Kor SISPA.
Antara universiti yang terbabit di dalam rombongan ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Kolej Universiti Islam Melaka dan Universiti Kuala Lumpur.
Manakala tempat yang dilawati melibatkan Pejabat Wali Kota Banda Aceh, Badan Penanggulangan Bencana Banda Aceh, Kuburan Massai iaitu kubur melibatkan persemadian 46,718 mangsa tsunami, Muzium Tsunami, Masjid Baiturahman, Monumen Perahu Tersangkut di Atas Rumah, Rumah Anak Yatim Al-Muhajirin Banda Aceh dan Pusat Penyelidikan Bencana (Sekolah Aman Bencana) serta Pantai Ulee-Lhee.
Lawatan sambil belajar Kor SISPA ke Banda Acheh merupakan program yg penuh dengan informasi kerana peserta didedahkan dengan pelbagai fakta tentang tsunami dan gempa bumi. Di acheh, pergerakan plat tektonik di bawah laut telah mengakibatkan gempa bumi setinggi 9.5 skala rikter dan disusuli dengan tsunami setinggi 30 meter menyebabkan 200 ribu nyawa telah terkorban.
Berikutan kejadian ini, pelbagai langkah keselamatan dan penyelidikan telah dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya tsunami dan gempa bumi. Bangunan-bangunan mitigasi dan evakuasi telah dibina di kawasan persisiran pantai dan penanaman semula hutan bakau dilaksanakan sebagai benteng laut. Peserta turut didedahkan dengan simulasi kejadian sebenar ketika berlakunya tsunami.
Pendedahan dan pengalaman ini dapat memberi manfaat kepada para peserta di dalam pengurusan bencana dan sebagai persediaan kepada negara dalam menghadapi sebarang musibah yang datang.