Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin tamat tempoh perkhidmatan pada 15 Oktober 2016 lalu setelah lapan tahun menerajui Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai Naib Canselor.

Profesor Datuk Dr. Mohd Noh, 64 sebelum ini telah dilantik sebagai Naib Canselor sebanyak tiga penggal oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula pada 16 Oktober 2008.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Imperial College London ini telah melakar pelbagai kejayaan antaranya berjaya menaikkan rating dan ranking universiti di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) Malaysia dan juga antarabangsa. Beliau juga telah melakukan beberapa transformasi dalam pentadbiran dan pembangunan universiti serta perkhidmatan staf sekali gus menjadikan universiti ini makin disegani dalam kalangan IPT dan juga masyarakat. Bapa transformasi ini juga merupakan peneraju kepada pembinaan Kampus Pagoh di bawah pembangunan jangka panjang Hab Pendidikan Pagoh.

Semasa menjawat jawatan Naib Canselor UTHM, anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi tempoh tiga tahun bermula 9 Disember 2011. Atas kepercayaan yang diberikan, beliau juga turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor (JKNCR) bagi Universiti Awam pada tahun ini sebelum menamatkan perkhidmatannya. Mohd Noh juga merupakan satu-satunya Naib Canselor yang pernah mentadbir dua universiti iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UTHM.

Menyingkap keperibadian insan bernama Mohd Noh ini, beliau merupakan seorang pemimpin yang bijak dalam mentadbir urus universiti dan mempunyai jati diri yang sangat mengagumkan. Ketegasan beliau dalam bekerja bukanlah penghalang kepada warga universiti untuk terus mendekati dan menyenangi beliau.

Berikutan penamatan beliau sebagai Naib Canselor, seluruh warga universiti amat merasai kehilangan pemimpin berminda ‘emas’ ini. Justeru, satu majlis ringkas yang dinamakan “Clock Out” telah diadakan di perkarangan Perpustakaan Tunku Tun Aminah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan beliau kepada universiti. Para staf dan ribuan pelajar telah hadir bagi mengiringi langkah terakhir beliau semasa meninggalkan universiti ini pada 13 Oktober lalu.

Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin (2008-2016).. Jasamu dikenang, budimu disanjung.