Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah dalam usaha memberikan pengalaman pembelajaran berkesan kepada para pelajarnya apabila idea penubuhan IEEE UTHM Student Branch diluluskan oleh IEEE yang maklumatnya diumumkan oleh IEEE Malaysia menerusi emel pada 20 Oktober 2016 lalu.
IEEE yang merupakan akronim bagi Institute of Electrical and Electronics Engineers telah diasaskan pada 1884 oleh Alexander Graham Bell dan Thomas Edison dan hari ini, IEEE dianggotai oleh lebih 420,000 ahli seluruh dunia menerusi 160 negara. Dengan 25% ahlinya adalah pelajar dan graduan menjadikan perkembangan IEEE adalah sangat positif dan memberangsangkan sebagai persatuan profesional teknikal terbesar di dunia. Meneruskan kelangsungan sebagai sebuah persatuan yang sangat berpengaruh, IEEE menerbitkan kajian perpustakaan dalam bidang kejuruteraan elektrik, sains komputer dan elektronik, menjadikannya peneraju dalam penyediaan piawaian antarabangsa merentasi pelbagai bidang antaranya telekomunikasi, teknologi maklumat, penjanaan tenaga, produk dan perkhidmatan.
Penubuhan IEEE UTHM Student Branch yang mendapat sokongan penuh Dekan FKEE, Dr Afandi Ahmad dan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Inovasi), Prof Dr. Hashim Saim bertujuan untuk membolehkan para pelajar di UTHM amnya dan FKEE khususnya didedahkan seawal mungkin dengan pelbagai aktiviti profesional berkaitan bidang kerjaya masing-masing, khususnya kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Menerusi IEEE UTHM Student Branch yang diuruskan Kaunselornya iaitu Profesor Madya Dr. Nafarizal Nayan, para pelajar berpeluang untuk membangunkan kemahiran dan jaringan profesional berkaitan Sciences, Technology, Engineering, and Mathematics (STEM), memperkembang kemahiran insaniah (KI) para pelajar meliputi nilai-nilai kepimpinan, kerja berpasukan, kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah kompleks dan banyak lagi. Lebih menarik lagi, menerusi IEEE UTHM Student Branch juga banyak kerja-kerja kesukarelawanan dapat dikembangkan kerana selain daripada matlamat melahirkan jurutera dan ahli profesional yang hebat pengetahuannya, ia juga untuk melahirkan seorang insan yang menjiwai nilai kemanusiaan.
Pastinya dengan penubuhan IEEE UTHM Student Branch ini adalah usaha berterusan untuk memastikan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) akan dapat direalisasikan. Semoga semua pihak akan mendapat manfaat dengan penubuhan cawangan IEEE ini di UTHM.