Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Nooh bin Gadot telah dilantik secara rasmi sebagai Ahli Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuat kuasa 1 Oktober 2016 hingga 30 September 2019.Pelantikan Dato’ Haji Nooh sebagai wakil masyarakat ini adalah bagi menggantikan Mejar Jeneral (B) Dato’ Md. Ismail Ahmad Khan yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2015 lalu.

Dato’ Nooh, 70 merupakan graduan bidang syariah dan undang-undang dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau adalah seorang tokoh yang berjaya melaksanakan transformasi dalam mengislamisasikan bidang kerjaya dan pembangunan insan khususnya kepada masyarakat melayu Islam. Sumbangan ilmu dan buah fikiran beliau amat dihargai sehingga dilantik sebagai ahli Jumaah Majlis Diraja Johor dan Majlis Agama Islam Johor.

Anak kelahiran Segamat, Johor ini juga sangat aktif sebagai pembentang kertas kerja dan idea dalam pelbagai isu agama pada persidangan kebangsaan dan antarabangsa yang membawa kesan kepada kehidupan sosial dan kerohanian masyarakat. Selain itu, beliau turut bergiat sebagai penceramah di stesen televisyen dan radio serta kolumnis di beberapa akhbar tempatan. Pada Majlis Konvokesyen ke-15 UTHM pada tahun 2015, beliau telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains (Pembangunan Insan) sebagai pengiktirafan terhadap peranan yang telah beliau laksanakan dalam pembangunan insan di Negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya.

Tokoh agama tersohor di Malaysia ini mempunyai pengalaman luas dalam amalan Islam dan Fiqh, metologi perundangan, hadis dan sains kerohanian setelah menjawat beberapa jawatan sebelum ini seperti Mufti Johor, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pentadbiran Undang-undang Syariah, Pemangku Kadi, Peguam Syarie dan Pegawai Hal Ehwal Jabatan Agama di Jabatan Perdana Menteri.

Penglibatan dan sumbangan beliau kepada negara menjadikan hubungannya dengan masyarakat menjadi sangat rapat. Justeru itu, pelantikan ini diharap mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.