Dalam usaha melonjak naik ranking dan rating Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke satu tahap yang membanggakan, satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “How to Improve University Ranking/Rating and Publication” telah diadakan pada 8 Ogos lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM. Objektif sesi perkongsian ilmu ini adalah untuk memperolehi maklumat dan idea bagaimana untuk meningkatkan dan memperbaiki ranking dan rating universiti khususnya dalam QS dan Webometrics.

Sesi yang berlangsung selama dua jam ini dikendalikan oleh penceramah berpengalaman iaitu Profesor Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Anak kelahiran Johor lulusan Doktor Falsafah (PhD) daripada University of York ini adalah Profesor dalam bidang agrikultur dan merupakan mantan Naib Canselor UPM.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Fauzi dipilih untuk mengendalikan sesi tersebut kerana beliau berpengalaman luas dalam menaikkan nama UPM setaraf dengan universiti ternama tempatan yang lain.

Program anjuran Pusat Strategik dan Komunikasi Korporat (PSKK) dengan kerjasama Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC) ini dihadiri Timbalan-Timbalan Naib Canselor UTHM, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua pusat tanggungjawab dan staf akademik. Manakala Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin juga sempat meluangkan masa ke sesi tersebut.