Bersempena penganjuran Pentas Karya Teater Johor 2016, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan pementasan teater bertajuk “Darah Muda – Menyingkap Perjuangan Dato’Onn Jaafar” pada 6 dan 7 Mei lalu bertempat di Dewan Kuliah G3, UTHM.
UTHM dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Kerajaan Negeri Johor dan Muafakat Johor mendapat sokongan kuat dari pelbagai pihak antaranya Majlis Daerah Batu Pahat, Penerangan Batu Pahat, Muzium Tokoh Yayasan Warisan Johor dan Majlis Kebudayaan Batu Pahat. Pementasan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Mohd Halim Hasbullah pada 6 Mei lalu dan turut dihadiri Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.
Teater “Darah Muda” karya Eddy Rusdi Abdullah adalah rentetan daripada naskah Bintang Tiga di Batu Pahat – Menyingkap perjuangan Dato’Onn Jaafar, karya Rohaidah Yon. Kisah dua generasi yang memperjuangkan keamanan dengan cara sendiri ini benar-benar membangkitkan semangat cintakan bangsa dan negara.
Teater arahan Eddy Rusdi bersama Abu Haikal yang berdurasi satu jam 10 minit ini mengisahkan tentang sekumpulan anak muda yang selalu berbalah dan merosakkan perpaduan kaum telah dibawa ke satu era perjuangan Dato’ Onn Jaafar semasa berlakunya tragedi 13 mei 1969 yang menyebabkan perbalahan antara kaum di Malaysia. Kisah kiai Salleh dan Dato Onn Jaafar yang menyelamatkan negara dari tentera Bintang tiga turut diceritakan dalam karya ini bagi memberi kesedaran kepada generasi muda itu.
Pementasan ini telah dijayakan oleh pelajar dari Kelab Warisan UTHM dan dibimbing oleh staf Unit Kebudayaan Hal Ehwal Pelajar UTHM manakala idea menyertai Pentas Karya Teater Johor 2016 ini adalah rentetan dari kejayaan UTHM di Festival Teater Negeri Johor yang mana UTHM telah menjuarai festival itu dengan memenangi Pengarah Terbaik, Sinografi Terbaik dan Johan keseluruhan.
Pementasan ini bukan sahaja menyahut saranan kerajaan untuk menerapkan nilai – nilai perpaduan antara kaum malah menyahut seruan kerajaan yang mana pelajar dan pekerja dapat menjana pendapatan melalui penganjuran program yang dapat memajukan lagi universiti dan negara.
“Saya ingin menerapkan ilmu pembelajaran sepanjang hayat melalui lakonan dan pengurusan seni agar mereka yang terdiri daripada pelajar kejuruteraan boleh menggunakan pengalaman ini selepas tamat pengajian kelak,” kata Eddy Rusdi selaku penasihat Kelab Warisan.
Malah menurutnya program yang dibantu oleh para pelajarnya dari kelas Teater dan Seni Tari, Pusat Kokurikulum ini dapat meningkatkan lagi kemahiran insaniah pelajar kerana di dalamnya terdapat pelbagai pembelajaran yang menuntut mereka untuk lebih serius.
Antara pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Mohd Naim Afandi, Eddy Rusdi, Mohd Faizul, Shahrul Nizam, Fadli Zainuddin, AirynDeyuz Benedict, Jane Ezaty, Nabila Tajuddin, Isyaa dan ramai lagi.