Bagi memberi nilai tambah dan menjaga kebajikan pelajar antarabangsa di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pejabat Antarabangsa telah menganjurkan Majlis Penyampaian Watikah Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan UTHM-Global Society (UGS) serta Forum Pengantarabangsaan pada 27 April lalu.
Majlis Penyampaian Watikah tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.  Majlis tersebut turut dihadiri Pendaftar UTHM, Dekan serta Timbalan-timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) setiap fakulti.  Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa pula merupakan wakil dari fakulti-fakulti dan beberapa pusat tanggungjawab yang ditugaskan untuk membantu urusan hal ehwal antarabangsa universiti.
Manakala UTHM-Global Society (UGS) pula terdiri dari wakil-wakil pelajar antarabangsa yang dipertanggungjawabkan untuk membantu menjalankan aktiviti pelajar di samping menjaga kebajikan dan meningkatkan pengalaman pembelajaran semua pelajar antarabangsa sepanjang berada di UTHM.
Jawatankuasa UGS dinaungi Presidennya iaitu Omar Feissal Al Issa dari Syria, dibantu oleh Timbalan Presiden Muheeb Musaed Mohammed dari Yemen, Setiausaha Qadir Bakhsh Jamali dari Pakistan, Bendahari Djamal Hissein Didane dari Chad dan tiga ahli EXCO  iaitu Dafit Feriyanto dari Indonesia, Abdullahi Ali Hussein dari Somalia dan Saudara Adamu Isa Harrir dari Nigeria.
Sementara itu, penganjuran Forum Pengantarabangsaan 2016 yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan universiti dan pelajar-pelajar antarabangsa UTHM bertemakan ‘Learning and Experience’ turut diadakan pada hari yang sama. pengerusikan oleh  Dr. Nur Sofurah binti Mohd. Faiz.
Forum yang dipengerusikan oleh Dr. Nur Sofurah Mohd Faiz melibatkan beberapa panel seperti Profesor Dr. Mohd. Idrus Mohd. Masirin, Profesor Madya Dr. Chan Chee Ming serta dua pelajar antarabangsa iaitu Omar Feissal Al Issa dan Djamal Hissein Didane. Forum tersebut membincangkan isu-isu hubungan pengantarabangsaan serta mengulas beberapa isu-isu akademik dengan lebih jelas dan terperinci.
Dalam usaha mencapai sasaran bilangan pelajar antarabangsa di UTHM, Pejabat Antarabangsa akan meneruskan forum pengantarabangsaan pada tahun-tahun akan datang dengan penglibatan yang lebih menyeluruh dari pihak-pihak di dalam mahupun luar UTHM.

Source: Pejabat Antarabangsa anjur Forum dan Majlis Penyampaian Watikah untuk Pelajar Antarabangsa