Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) Datuk Mat Noor Nawi telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTHM oh berkuatkuasa pada 1 Mei 2016. Pelantikan untuk tempoh tiga tahun ini dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh dan beliau akan mewakili sektor swasta di dalam Lembaga Pengarah Universiti.
Datuk Mat Noor berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Ekonomi Sumber) dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 1981 dan Ijazah Sarjana Sains (Dasar Ekonomi) dari University of Illinois Urbana-Champaign, Amerika Syarikat pada tahun 1991.
Beliau merupakan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan sebelum bersara wajib pada 6 Jun 2015.
Dalam masa yang sama, beliau merupakan Pengerusi DanaInfra Nasional Berhad dan Malaysian Development Holdings Sdn. Bhd.
Memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam Kerajaan sejak 1981, Datuk Mat Noor pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1983 hingga 2011 sebelum bertukar ke Kementerian Kewangan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Sistem dan Kawalan) pada 19 Oktober 2011.
Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah di beberapa institusi seperti Pengurusan Aset Air Berhad, Bintulu Port Holdings Berhad, Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd., PR1MA Berhad, Pelaburan Hartanah Berhad, Kumpulan Wang Amanah Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Suruhanjaya Sekuriti, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Teraju Bumiputera Corporation, GovCo Holdings Berhad, Turus Pesawat Sdn. Bhd. dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Inovasi Malaysia.
UTHM mengalu-alukan pelantikan Datuk Mat Noor sebagai Ahli LPU UTHM yang baharu dan mengucapkan selamat maju jaya bersama-sama UTHM.

Source: Datuk Mat Noor Nawi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UTHM