Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan delegasi dari Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia Kepulauan Riau (APTISI), Indonesia pada 14 Februari lalu.
Kunjungan tersebut adalah bagi menandatangani Letter of Intent (LOI) dan lawatan balas selepas pihak UTHM yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin mengadakan promosi media di Kepulauan Riau pada 21 hingga 24 Januari lalu.
Majlis menandatangani LOI yang telah diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah itu dihadiri Naib Canselor UTHM, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta beberapa pegawai kanan universiti. Manakala delegasi dari APTISI pula diketuai oleh Drs H. Hardi Selamat Hood, Senator DPD RI Kepulauan Riau yang juga merupakan pelajar Ijazah Kedoktoran UTHM.
Majlis tersebut menyaksikan UTHM menandatangani LOI bersama 13 institusi iaitu Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan Karimun, Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Nagoya, STEI Ar- Rachman, Akademi Kebidanan Putra Jaya Mandiri, Sekolah Tinggi Manajemen Informatika dan Komputer GICI, Akademi Akuntansi Permata Harapan, Akademi Bahasa Asing Permata Harapan, Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Karimun, Sekolah Tinggi Teknik Ibnu Sina, Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Ibnu Sina, Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan Ibnu Sina, Sekolah Tinggi Agama Islam Ibnu Sina dan Sekolah Tinggi Ilmu Komunikasi International Gurindam Archipelago (STIKOM IGA).
Selain itu, delegasi APTISI turut mengadakan perbincangan berkaitan perancangan program kerjasama bersama pihak Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM sebelum bertolak pulang pada 15 Februari.
UTHM berharap kerjasama yang terjalin ini dapat memberi manfaat bersama sekali gus mencapai objektif universiti dalam menambah bilangan pelajar antarabangsa khususnya dari Indonesia.
Source: UTHM jalin kerjasama dengan APTISI – tingkat jumlah pelajar dari Indonesia