RANAU – Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa/i Sabah UTHM (PERMAS) telah menganjurkan program Khidmat Masyarakat Kinabalu Fasa 2 pada 11 hingga 13 November lalu.
Gempa bumi yang berukuran 5.9 skala richter telah berlaku di 1.6 km barat laut Ranau pada 7.15 pagi pada 5 Jun. Gegaran daripada gempa bumi itu turut dirasai di kawasan-kawasan sekitar seperti Tambunan, Pendalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. Peristiwa tersebut telah menyebabkan empat orang Malim Gunung Kinabalu terkorban dan terdapat beberapa buah kampung di sekitar daerah Ranau dan Kota Belud mengalami kerosakan yang teruk.
Berikutan peristiwa itu, pihak UTHM telah mengambil langkah proaktif dengan berusaha mengumpul sumbangan kewangan daripada pelbagai pihak sama ada di dalam mahupun luar kampus. Tabung sumbangan berkenaan telah digerakkan secara kolektif yang melibatkan inisiatif pihak fakulti dengan kerjasama pihak PERMAS bermula pada penghujung bulan Julai.
Pada 12 November 2015, pihak FPTP yang diketuai Pengarah Projek, Profesor Madya Dr. Haryati Shafii yang juga merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni telah menyerahkan sumbangan berbentuk makanan asas serta alat-tulis persekolahan kepada kira-kira 30 buah ketua keluarga.
Antara kampung yang menerima sumbangan adalah  Kampung Tomis Jaya, Kampung Mangi Pangi dan Kampung Tiong Ratau yang terletak di Pekan Nabalu, Ranau. Mangsa gempa tersebut menerima sumbangan masing-masing pada satu majlis ‘rewang’ bersama penduduk kampung yang disertai oleh pegawai dan pelajar-pelajar universiti.
Empat aktiviti utama dalam program khidmat masyarakat ini ialah pemeriksaan kesihatan dan agihan ubatan, sesi kaunseling bersama pelajar sekolah rendah, majlis rewang serta penyerahan sumbangan.
Selain FPTP, Program khidmat masyarakat ini juga telah berjaya menggabungkan kerjasama dengan beberapa pusat tanggungjawab iaitu Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P).
Program ini merupakan kesinambungan daripada program khidmat masyarakat fasa satu yang telah diadakan pada bulan Ogos lalu. Bagi program fasa kedua ini, ia membabitkan skala penganjuran yang lebih besar dengan penglibatan kira-kira 11 orang staf universiti dan 17 orang pelajar.
FPTP telah menghantar seramai lima orang staf iaitu Profesor Madya Dr. Haryati Shafii, Dr. Azlina Md Yassin, Encik Indera Syahrul Mat Radzuan, Cik Noreina Kepal @ Nasir dan Encik Edie Ezwan Mohd Safian. Manakala staf PKU yang terlibat dalam program ini ialah Dr. Maizatulakmal Pathor Rahman, Encik Ahmad Saiful Razali, Sn. Hartini Shafii dan Cik Juli Nazira Panior. Dua pegawai psikologi iaitu Encik Muhammad Khairullah Mohd Shaari dan Cik Nur Ashikin Sulaiman dari Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P) turut ditugaskan menyertai misi tersebut. Manakala pelajar-pelajar yang terlibat pula adalah terdiri daripada 11 orang pelajar FPTP dan tujuh orang pelajar PERMAS.
Program ini dilihat sebagai suatu langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat yang prihatin dalam kalangan warga universiti untuk turut sama membantu keluarga mangsa yang terjejas kesan daripada tragedi gempa bumi di Sabah. Sesungguhnya program ini telah berjaya memberi kesan yang amat mendalam kepada penduduk kampung yang tidak putus-putus menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada warga universiti yang prihatin dengan nasib mereka. ~ Technically Above The Rest

Source: Khidmat Masyarakat Kinabalu Fasa 2 – UTHM terus bantu mangsa gempa