Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan keunggulannya dalam menerajui pengajian kejuruteraan dan teknikal di negara ini apabila subjek Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan kendalian Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah tersenarai dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking dan berada di tangga 201 hingga 300 terbaik di peringkat dunia.
Kejayaan ini telah meletakkan UTHM setanding dengan universiti-universiti ternama dunia yang menawarkan subjek kejuruteraan berkenaan sekaligus membuktikan institusi ini sentiasa berusaha untuk lebih kompetitif dalam menawarkan program-program akademik yang berkualiti.
Penilaian oleh QS Intelligence Unit iaitu satu organisasi audit berprestij yang berpusat di London ini dibuat berdasarkan tiga kriteria iaitu reputasi akademik (Academic Reputation), reputasi majikan (Employer Reputation) dan Impak penyelidikan (Research Citations per paper).
Untuk rekod, FKMP merupakan fakulti yang mencatatkan jumlah penerbitan ilmiah paling banyak dan mempunyai tenaga pengajar memiliki PhD. paling ramai jika dibandingkan dengan fakulti lain di UTHM. Mantan Dekan FKMP, Profesor Dr. Yusri Yusof berkata pihak fakulti sentiasa menggalakkan pengajarnya untuk meningkatkan mutu pengajatran, penulisan dan penyelidikan di samping memberi perhatian khas terhadap aspek khidmat sosial kepada masyarakat dan persekitaran. Dengan adanya penekanan seimbang sedemikian, kami yakin FKMP akan berjaya menonjolkan diri sebagai fakulti yang disegani dalam melahirkan graduan bidang kejuruteraan mekanikal di rantau ini.
“Komitmen dan usaha yang berterusan dalam memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran terpelihara juga merupakan salah satu faktor mengapa subjek kejuruteraan di FKMP layak mendapat penarafan sebegini,” katanya.

Source: Subjek Kejuruteraan UTHM tembusi ranking 300 terbaik dunia