417 unit pangsapuri bakal dibina bagi menampung keperluan penempatan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang semakin meningkat jumlah penuntutnya.
Pembinaan kolej kediaman secara berkelompok di Parit Raja, Mukim Sri Gading Batu Pahat itu dijangka dapat menampung sehingga 5000 siswa. Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin berkata UTHM sememangnya mengalami masalah kekurangan penempatan pelajar, hanya 42 peratus dari jumlah keseluruhan 16127 penuntut tinggal di asrama manakala selebihnya tinggal di ruma sewa sekitar universiti.
“Bagaimanapun pembinaan pangsapuri yang dijangka siap pertengahan tahun depan itu masih tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah kekurangan penempatan pelajar tetapi pihak kami berharap kolej kediaman baharu ini dapat meningkatkan lagi jumlah penuntut yang tinggal di asrama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kolej Kediaman Berkelompok yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi pada 19 Oktober lalu.
Sementara itu, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata pembinaan kolej kediaman terbabit dilihat dapat membantu meningkatkan kegiatan ekonomi di Pekan Parit Raja sekali gus berupaya meningkatkan lagi taraf pendapatan penduduk.
Pembinaan pangsapuri yang diuruskan oleh UTHM Holdings Sdn Bhd bersama UTEN Holdings Sdn Bhd itu membabitkan kos sebanyak RM115 juta dan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur yang dilengkapi dengan enam katil dua tingkat, ruang belajar,ruang makan dan ruang menyidai pakaian.
Kemudahan lain adalah seperti kafeteria, dobi, pusat internet, kedai serbaneka dan surau selain pembinaannya turut menitik beratkan aspek keselamatan. Penempatan kediaman ini amat strategik memandangkan lokasinya terletak berhampiran kampus dan juga Pekan Parit Raja.
Turut hadir di upacara pecah tanah tersebut, ADUN Parit Raja, Puan Seri Hajjah Azizah Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Mejar Jeneral (B) Dato’ Ismail Ahmad Khan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Hashim Saim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Pengarah Urusan UTHM Holdings Sdn. Bhd, Tuan Haji Abu Bakar Hussain; Penasihat UTEN Holdings Sdn Bhd, Tuan TEE eng Seng serta Pegawai-pegawai Kanan UTHM.