Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkasa jalinan kerjasama antarabangsa melalui inisiatif mewujudkan Pusat Rujukan (Reference Centre) di kampus induknya kepada tiga buah universiti antarabangsa iaitu Nagaoka University of Technology (NUT), Jepun; University of Bremen, Germany dan juga Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia.
Pembentukan Pusat Rujukan bagi ketiga-tiga universiti antarabangsa ini di UTHM adalah bertujuan untuk memudahkan lagi urusan dan hubungan kerjasama yang telah dirancang khususnya dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan,di samping untuk mempromosi universiti masing-masing dengan lebih meluas. Tawaran UTHM ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada tiga universiti tersebut.
Untuk rekod, UTHM bersama Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia telah pun mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada tanggal 5 Oktober 2013. Antara kerjasama yang telah dilaksanakan adalah Program Mobiliti Pengajar Khidmat Masyarakat ke UGM yang berlangsung pada 23 Februari hingga 3 Mac 2014. Program ini dilaksanakan bagi mempelajari serta melaksana model Kuliah Kerja Nyata (KKN) daripada UGM agar dapat diterapkan dalam kursus Khidmat Masyarakat yang ditawarkan oleh Pusat Ko-Kurikulum, UTHM.
Nagaoka University of Technology pula telah mengadakan lawatan ke UTHM pada 7 April lalu bagi membincangkan tentang pembentukan pejabatnya di kampus ini. Satu sesi perbincangan telah diadakan antara Naib Presiden (Pendidikan dan Penyelidikan) NUT, Profesor Dr. Yoshiharu Mutoh dengan Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin. Kunjungan tersebut turut melibatkan lawatan ke beberapa Pusat Tanggungjawab utama universiti seperti Pejabat Antarabangsa dan Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi). Dalam masa yang sama, University of Bremen pula dimaklumkan akan memberi respon secepat mungkin berkaitan cadangan pembentukan Pusat Rujukan tersebut.
UTHM sememangnya sangat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang ingin dijalinkan antara institut pengajian tinggi di dalam mahupun luar negara untuk kebaikan bersama.