Penyertaan pasukan tunggal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) telah berjaya meraih Oustanding Award sekaligus merangkul pingat emas ketika menyertai International Innovation Festival (INNOFEST 2014) yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka pada 18 Mei lalu.
Pertandingan yang melibatkan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda tersebut dimenangi melalui kategori International Innovation And Design Expo. Pasukan  UTHM terdiri daripada Ahmad Syazrin Salamat, Muhammad Faisal Md Ali dan Jenylex Kumil, adalah pelajar tahun akhir FKAAS sementara Encik Masiri Kaamin dari Pusat Pengajian Diploma selaku penyelia projek tersebut.
Pasukan ini telah mempertandingkan produk inovasi ‘Add-Probe for Soil Investigation’ yang sangat praktikal untuk kegunaan kerja-kerja kejuruteraan awam. Produk inovasi tersebut mendapat perhatian pihak juri sehingga membolehkan mereka meraih kedua-dua pingat dalam pertandingan tersebut.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan UTHM yang berjaya meraih anugerah dalam pertandingan bertaraf antarabangsa tersebut.