Engr. Nor Azali Azmir, Tutor daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terpilih untuk menerima Anugerah Young Investigator’s Award dalam The Asian Association for Occupational Health (ACOH 2014).
Beliau dijadual akan menerima anugerah tersebut pada 3 September 2014 ini bertempat di Hilton Fukuoka Sea Hawk, Fukuoka, Japan. Nor Azali yang kini melanjutkan pengajian di peringkat PhD sedang menjalankan kajian bertajuk “Hand Arm Vibration Syndrome Among Hand Held Grass Cutter Workers in Malaysia” dengan bantuan geran penyelidikan daripada “National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH)” Malaysia. Beliau sebelum ini telah memperolehi sijil kompeten pegawai dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperakui oleh NIOSH dan CIDB. Data penyelidikan kajian di bawah seliaan Professor Mohd Imran Ghazali dan Engr. Dr. Musli Nizam Yahya ini mendapat kerjasama daripada Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL).
Penyelidikan tersebut merupakan kekuatan bagi melayakkan Nor Azali tersenarai sebagai bakal penerima anugerah Young Investigator’s Award. Lebih lanjut, penyelidikan yang dilakukan beliau adalah berkaitan dengan penyakit pekerjaan di mana pekerja yang menggunakan mesin yang bergetar akan mengalami penyakit “Hand Arm Vibration Syndrome” (HAVS). Subjek kajian beliau mengfokuskan kepada golongan pemotong mesin rumput yang sentiasa terdedah kepada getaran tangan yang tinggi semasa bekerja. Hasil siasatan mendapati terdapat tanda di mana pekerja ini akan mengalami hilang upaya di tangan dan lengan setelah terdedah kepada getaran mesin pemotong rumput. Penyiasatan ini juga telah mendedahkan bahawa pekerja pemotong rumput di Malaysia mempunyai risiko tinggi untuk mengalami HAVS.
Untuk rekod, The Asian Association for Occupational Health (AAOH) telah ditubuhkan di Tokyo pada tahun 1954 sebagai forum antarabangsa untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kemalangan industri dan penyakit dalam sektor pekerjaan. Sekitar waktu ini, Jepun merupakan negara yang melalui proses kebangkitan dan pembinaan semula selepas perang dunia kedua manakala di rantau Asia Pasifik pula sedang mengalami lonjakan dalam masalah yang berkaitan dengan industri dan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Justeru, persidangan ACOH yang diadakan secara berkala di bawah naungan AAOH ini diadakan bertujuan untuk membincangkan isu-isu yang timbul berkaitan bidang ini. Pada tahun ini tema persidangan yang dipilih ialah “Bridging Gaps: Occupational Health, Research and Clinical Practice”.
Nor Azali ketika ditemubual melahirkan rasa syukur atas pencalonan penerimaan anugerah tersebut dan berharap penyiasatan atau penyelidikan dalam bidang “Occupational Safety and Health (OSH)” lebih giat dijalankan di Malaysia.
“Penyelidikan seperti ini dapat membantu meningkatkan ekonomi dan produktiviti negara di samping membantu mewujudkan keadaan kerja yang selamat seiring dengan slogan “Safety First,” katanya.
jali