Pasukan Mendayung Lelaki dan Wanita UTHM muncul antara tiga pasukan terbaik dalam Kejohanan 10th Chinese University of Hong Kong Rowing Championship Asean Universities Invitation Race 2014 yang telah berlangsung di Jockey Club Shek Mun Rowing Centre pada 22 hingga 27 Januari 2014. Pasukan UTHM merupakan wakil tunggal dari Institut Pengajian Tinggi yang mewakili Malaysia dalam kejohanan yang turut disertai oleh wakil-wakil university dari Hong Kong, China dan Jepun.

Satu penghormatan untuk Pasukan UTHM yang bukan sekadar membawa nama pasukan universiti tetapi juga membawa nama Malaysia di kejohanan yang menjadi medan perlumbaan bagi jaguh-jaguh universiti di peringkat Asean. Kejohanan yang telah memasuki tahun yang ke-10 ini menjadi titik permulaan bagi pasukan UTHM berlumba di luar negara bagi membuktikan kemampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Kejayaan meraih dua pingat gangsa bagi dua kategori yang disertai iaitu women 4+ dan men 8+ sudah cukup untuk menarik perhatian pasukan-pasukan lain dalam kejohanan ini. Walaupun pasukan UTHM dipandang kerdil namun semangat juang yang dipertontonkan atlit UTHM pada kejohanan ini mula digeruni apabila berjaya layak ke final dan meraih pingat untuk memberi cabaran dalam perlumbaan ini.

Kejohanan ini juga merupakan medan persediaan untuk atlit-atlit pasukan mendayung UTHM dalam menghadapi Kejohanan Sukan Air Kayak-Rowing MASUM 2014 yang akan berlangsung pada bulan April 2014 bagi merebut dan mempertahankan Juara Keseluruhan Lelaki dan Wanita yang pernah dinobatkan pada pasukan UTHM pada tahun sebelum ini.

Semoga kejayaan Pasukan Mendayung UTHM diperingkat antarabangsa ini akan menambah koleksi kejayaan UTHM dalam bidang sukan khususnya sukan air antara sukan paling popular di UTHM yang mampu menaikkan nama universiti di peringkat yang lebih tinggi dalam siri-siri kejohanan yang akan disertai oleh pasukan UTHM.

Oleh: Shaid Jaffar