Dikurniakan lapan anak dan 16 cucu merupakan satu anugerah tidak ternilai kepada penerima Anugerah Keluarga Bahagia 2013 bagi kategori Melayu peringkat negeri Johor, Profesor Madya Sapon Ibrahim.
Profesor Madya Sapon, Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama pasangannya Hajah Katijah Kasbon melahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada 9 Februari lalu di Hotel Renaissance, Johor Bahru. Beliau menerima plak, sijil dan wang tunai bernilai RM3000.
Mengulas tentang latar belakang keluarganya, Profesor Madya Sapon memberitahu beliau sangat rapat dengan isteri dan anak-anaknya serta sering berkongsi idea untuk mewujudkan suasana akrab dan harmoni dalam kekeluargaan.
“Saya dan isteri adalah seorang pengajar. Segala ilmu berkaitan pengajaran dan pembelajaran, kami praktikkan juga pada anak-anak di rumah. Saya ajar mereka ilmu-ilmu yang melibatkan kemahiran, psikologi dan juga keagamaan. Alhamdulillah,akhirnya mereka berjaya menjejak kaki ke universiti,” katanya.
Dikurniakan lapan anak bukanlah masalah besar kepada Profesor Madya Sapon dan pasangan untuk menguruskan sendiri anak-anak yang sedang membesar. “Saya tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah. Walaupun kami sibuk dengan tugas masing-masing, kami tetap bergilir-gilir dan bertolak ansur menjaga anak-anak. Inilah antara sebab kami sekeluarga menjadi rapat,” katanya lagi.
Setiap kali anak-anak mereka dirundung masalah, mereka akan datang mengadu dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Beliau turut bersyukur sepanjang 34 tahun usia perkahwinan, hubungan kekeluargaan ini sentiasa disulami kasih sayang dan kekal berterusan sehingga ke hari ini.
Selain berjaya membentuk sebuah keluarga yang bahagia, Profesor Madya Sapon yang pernah menerima Anugerah Pingat Ibrahim Sultan II ini juga sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau turut menjawat beberapa jawatan penting seperti Pengerusi Lembaga Kelas Tahfiz, Pengerusi Biro Pendidikan dan Dakwah Masjid Al-Ihsan, Bendahari JKK Parit Nipah dan juga Imam Surau.
Anugerah Keluarga Bahagia peringkat negeri ini merupakan pengiktirafan kepada keluarga yang mewakili empat kaum besar iaitu keluarga Melayu, Cina, India dan Orang Asli yang telah berusaha secara gigih dan berterusan dalam mengamalkan konsep kekeluargaan sebenar dan seterusnya memberi inspirasi kepada keluarga lain. Antara kriteria pemberian anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 2001 ini ialah dengan merujuk kepada bilangan anak yang berjaya, penglibatan ahli keluarga dalam sektor ekonomi dan kemasyarakatan serta aktiviti yang dilakukan dalam keluarga.