Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi Forum Mesej Dari Penjara 2013 yang berlangsung pada 19 Oktober 2013. Forum ini juga merupakan anjuran bersama UTHM dan Jabatan Penjara Malaysia.

Forum Mesej Dari Penjara 2013 merupakan program Jabatan Penjara Malaysia yang telah diperkenalkan sebagai salah program khidmat masyarakat jabatan selain daripada kadet koreksional, serta program ceramah di sekolah-sekolah dan sebagainya lagi.

Seramai 715 peserta dan 12 pegawai pengiring dari mahasiswa UTHM, pelajar-pelajar dari tujuh buah sekolah yang terdiri daripada lima buah sekolah menengah daerah Batu Pahat, Ayer Hitam dan dua buah sekolah kadet dari Simpang Renggam, Johor terlibat dalam forum pada kali ini.

Sepanjang forum ini, para peserta telah mengikuti tiga siri ceramah yang berjudul “Remaja Memerangi Jenayah” dan forum bertemakan “Hidup Bahagia Tanpa Jenayah.”

Upacara perasmian Forum Mesej Dari Penjara 2013 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia. Beliau dalam ucapan perasmiannya mengingatkan peserta agar sentiasa menjauhi diri dari anasir-anasir negatif supaya tidak terjebak dalam  agenda negatif dan membawa diri ke penjara.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim serta beberapa pegawai UTHM.

Tarikh: 23 Oktober 2013

Dikeluarkan oleh:

SHAFRY BIN SALIM

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat

Pejabat Naib Canselor

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia