Batu Pahat : Sekumpulan Perintis Sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperolehi kira-kira RM10,000 untuk disumbangkan kepada dana Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. Kutipan itu mula dilancarkan pada awal program Fiesta Kokurikulum Mahasiswa UTHM (FIESKOM) 2016 pada 30 November lalu.

Profesor Dr Wahid Razzaly, Yang Menjalankan Fungsi sebagai Naib Canselor berkata satu kolaborasi strategik antara Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor turut diadakan pada program FIESKOM itu.

Pihak universiti turut mewujudkan satu kumpulan Perintis Sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di kampus ini bagi membantu kerja-kerja amal yang akan dianjurkan kelak. Kutipan yang dijalankan itu juga bertujuan bagi membantu mengurangkan beban dan menyokong mereka yang menghidap kanser,” katanya.

Menurut Wahid, sepanjang FIESKOM dianjurkan, beberapa aktiviti telah dianjurkan bertujuan memberi kesedaran turut diadakan bagi mendidik masyarakat amnya terhadap penyakit kanser ini.

Penganjuran aktiviti itu menjadi titik permulaan dan dilihat sebagai satu perkembangan yang positif dalam usaha menjalinkan hubungan kerjasama antara pihak Yayasan pada masa akan datang, katanya.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang FIESKOM itu adalah lawatan ke Wad Pediatrik Pesakit Kanser (Red Bubbles) “UTHM Carezone for Cancer,” sesi perkongsian bersama doktor dan pesakit kanser menerusi slot “Blaze of Hope,” larian amal “Strive for Live Charity Run” bersama pesakit kanser serta Consert4Heart 2.0.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Fiesta Kokurikulum Mahasiswa UTHM FIESKOM 2016, di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM yang diadakan pada 15 Disember 2016.

Sementara itu turut berangkat ke majlis berkenaan, Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana, Datuk Dr. Khairi Yakub; Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Profesor Dr. Rosman Md Yusoff dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Han Ramin.