PULAU PINANG – Kumpulan Akustika Irama Kabin, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih Naib Juara dalam Pertandingan Akustika Convex’ 19 Terbuka yang telah berlangsung pada 29 September lalu bertempat di Pentas Utama Tapak Convex’ 19, Universiti Sains Malaysia.
Kumpulan Akustika Irama Kabin yang terdiri daripada enam orang pelajar ini disertai oleh Mohamad Khairil Solehin (gitar), Syafiq Haikal (cajon) dan Zharif Waqiyuddin (gambus) pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Muhammad Taqiuddin (double bass) pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) serta Alfonso Aloysius (vocal) dan Ferderick (sape’) pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP). Mereka dibimbing oleh Artis Budaya Pusat Kebudayaan Universiti, Mohd Nazri Mohd Nawi.
Sebanyak enam universiti awam telah bertanding pada pertandingan kali ini untuk merebut gelaran juara.
Penyertaan UTHM dalam pertandingan ini merupakan satu platform kepada pelajar-pelajar kejuruteraan di UTHM yang meminati bidang seni ini untuk terus berkarya selain melatih mereka menguasai kemahiran insaniah melalui latihan-latihan yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas pertandingan.