Bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar menyuarakan pendapat dan cadangan untuk diusulkan kepada pihak pengurusan tertinggi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu slot perbahasan ‘Parlimen Mahasiswa UTHM’ telah diadakan pada 18 hingga 20 April lalu bertempat di Dewan Jemaah, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Parlimen Mahasiswa ini diadakan bertujuan untuk menyediakan ruang perbincangan dan perdebatan secara intelek untuk pemimpin pelajar bersama-sama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkaitan isu-isu semasa dalam universiti dan hasil resolusi tersebut akan dibawa ke mesyuarat kebajikan pelajar.
Sesi perdebatan dan perbahasan seakan parlimen sebenar ini juga bertujuan mengenal pasti tahap amalan kepimpinan dalam kalangan pelajar dan mencungkil bakat kepimpinan mereka selain untuk melahirkan pemimpin yang berkarisma dan berfikiran strategik, cekap dalam pengurusan, perancangan dan membuat keputusan.
Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dalam ucapan perasmiannya berharap penganjuran Parlimen Mahasiswa ini dapat mewujudkan ikon-ikon pelajar yang mampu menjadi teladan kepada pelajar lain selain membantu pihak pengurusan tertinggi UTHM dalam pengurusan dan pembangunan sahsiah mahasiswa.
“Saya merasa bangga dan kagum apabila dimaklumkan penganjuran parlimen mahasiswa ini diuruskan sepenuhnya oleh para pelajar.
“Segala perkara daripada proses pengurusan sehingga membuat keputusan yang kritikal dibuat oleh pelajar sendiri berdasarkan pengalaman dan akal fikiran sendiri, di sini dapat dilihat ‘student empowerment’ yang ditonjolkan oleh jawatankuasa pelaksana,” katanya.
Parlimen Mahasiswa ini melibatkan bilangan 107 ahli dewan dan empat majlis tertinggi dewan. Mereka terdiri daripada 33 ahli MPP, 53 pengerusi dari fakulti, kelab dan persatuan, lapan pengerusi majlis kepimpinan kolej kediaman, lima orang pengurus sukan dan tiga orang aktivis mahasiswa.
Persidangan tersebut melibatkan lima sidang sepanjang tiga hari parlimen berlansung. Antara isu yang dibahaskan ialah isu Kluster Pembangunan Mahasiswa dan Sukan, isu Kluster Pentadbiran dan Pengurusan, isu Kluster Kebajikan dan Fasiliti, isu berkaitan Kluster Akademik serta Kluster Politik dan Umum.