Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Pengurusan dan Teknologi (JPT) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Melaka dengan membawa lapan pelajar mobiliti berkredit daripada Universiti Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia pada 24 Disember 2018 lalu.
Lawatan sambil belajar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar antarabangsa tersebut berkaitan budaya masyarakat negara ini yang pelbagai kaum, bangsa dan agama selain memperkenalkan tempat-tempat pelancongan yang menarik di Malaysia.
Lawatan tersebut diiringi oleh empat pensyarah FPTP iaitu Profesor Madya Haris Md Noor, Dr. Khadijah Arifin, Dr. Shazaitul Azreen Rodzalan dan Puan Anim Zalina Azizan.
Antara lokasi yang dilawati, sekitar Bangunan Stadhurst dan Kubu A Famosa yang dipelihara dan dipulihara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Untuk rekod, Kubu A Famosa dikenali sebagai pusara yang menempatkan sebilangan besar pedagang-pedagang antarabangsa satu ketika dahulu yang datangnya daripada Portugis, Belanda, Inggeris dan India pada zaman 1500 SM. Peserta mobiliti juga dibawa menaiki Menara Taming Sari yang menyajikan pemandangan sekitar Bandaraya Melaka secara 360 darjah dalam keadaan berputar pada ketinggian 4000m dari aras laut.
Menariknya mereka turut dijamu dengan masakan ala kampung dengan hidangan Asam Pedas Melaka yang terkenal di sekitar Dataran Pahlawan dan kemudiannya dibawa ke pusat cenderamata yang menawarkan produk menarik untuk dibawa pulang ke negara mereka.
Pelajar mobiliti juga dibawa ke The Shore untuk melawat tempat menarik seperti 3D Oceanaries selain dapat menikmati hidangan Coconut Shake Viral yang sangat terkenal di bandaraya bersejarah tersebut. Pada akhir lawatan mereka dibawa menaiki The River Cruise sambil menikmati keindahan waktu malam dengan menaiki bot menyusuri Sungai Melaka
Selain pembelajaran di dalam kelas, pihak fakulti melihat program ini mampu memberi manfaat kepada pelajar-pelajar mobiliti dari segi kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
“Pihak kami mengharapkan melalui lawatan sebegini, mereka dapat menambah pengetahuan dan pengalaman masing-masing disamping dapat mencipta kenangan indah sepanjang mereka belajar di UTHM,” kata Anim Zalina.