Kerajaan negeri Johor melalui Menteri Besar, Dato’ Haji Osman Sapian sebelum ini telah melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 pada 18 Ogos 2018 lalu bagi menyediakan seluruh pelusuk rakyatnya ke arah sebuah negeri yang berprestasi tinggi dan mempunyai rakyat yang berfikiran kelas pertama.
Salah satu intipati utama dalam pelan ini adalah lapan teras untuk melonjakkan Johor ke suatu tahap pentadbiran yang cekap dan berdaya maju. Antara teras tersebut adalah ‘aspirasi idealis anak muda’ yang merupakan lambang kesungguhan kerajaan untuk mendekatkan belia dengan asas kepimpinan sesebuah kerajaan.
Ini kerana kerajaan memandang belia sebagai tonggak kepimpinan dan masa hadapan negara dan sewajarnya pandangan dan suara mereka diangkat sekali gus diberi penekanan khusus dalam pentadbiran negara.
Bagi menyokong aspirasi ini, Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) dan Kolej Kediaman Tun Syed Nasir dan Pejabat Pelajar Tanpa Asrama, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Bicara Millenia Johor.
Program yang berkonsepkan bicara ilmiah ini telah diadakan pada 26 Oktober lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, kampus induk. Forum yang bertajuk “Aspirasi Idealis Anak Muda” ini telah menampilkan panel berpengalaman untuk berkongsi realiti, cabaran dan solusi dalam isu-isu yang dihadapi oleh belia pada masa kini.
Pelakon, penerbit, pelawak dan pengarah filem terkemuka, Datuk Afdlin Shauki telah dijemput sebagai ahli panel manakala Atashaa Farahin dari IKLAS pula sebagai moderator.
Program bicara ilmiah yang melibatkan lebih 1500 penonton ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar UTHM dan masyarakat setempat dan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Madya Dr. Asri Selamat.
Selaras dengan tajuk forum, program bual bicara ilmiah ini turut mengangkat bakat belia khususnya para pelajar UTHM melalui pemilihan pengacara majlis, pembaca doa dan urusetia dalam kalangan belia sendiri.
Menurut Pengarah Program, Amirul Faiz Abdul Latif program ini bukan sahaja dapat membimbing dan melatih kemahiran pengurusan program dalam kalangan belia, malah perkongsian yang diberikan oleh panel juga telah membuka sudut pandang baharu kepada para pelajar khususnya untuk memperbaiki dan melibatkan diri dalam agenda belia yang lebih besar dan mampan demi peribadi dan negara yang lebih baik.
Hadir sama ke program tersebut Pengetua Kolej Kediaman Tun Syed Nasir dan Pejabat Pelajar Tanpa Asrama, Profesor Madya Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim; EXCO Majlis Belia Negeri Johor, Abd Halim Md Dom serta Ketua Pentadbir, Haizal Ahmad selaku wakil rasmi Provost UTHM kampus cawangan Pagoh.