BATU PAHAT – Seramai 30 ahli kelab pengakap Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor telah menyertai program ‘Teroka Kayak Slalom’ yang diadakan di tasik Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC), UTHM pada 23 Mac baru-baru ini.
Program anjuran FPTV dan Pusat Sukan UTHM ini telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (HEPA) FPTV, Dr. Jamil Abd Baser. Ketua Jurulatih, Mejar Mohd Safiee Idris berkata, program intensif ini menitikberatkan tatakelola keselamatan berkayak dan 10 kemahiran berkayak yang mesti dikuasai oleh setiap peserta.
Program ini dimeriahkan dengan pertandingan empat acara kayak iaitu kayak solo lelaki dan perempuan serta kayak berpasangan lelaki dan perempuan.
Sementara itu Ketua Ahli Pengakap FPTV, Muhammad Irwan Mahasan berkata program ini sangat bermanfaat kepada setiap peserta kerana dapat meningkatkan lagi kemahiran disiplin yang ada dalam sukan ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana melaksanakan program yang padat dengan pengisian dan input yang sangat berguna. Moga sukan ini akan mendapat tempat dalam kalangan warga UTHM satu hari nanti,” katanya.
Source: FPTV UTHM teroka Kayak Slalom sempena sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor