Oleh : Prof. Madya Dr. Afandi bin Ahmad, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat)
Bahang cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dengan dimensi VUCA iaitu volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity, memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di universiti dipelbagaikan, misalnya dengan tumpuan mesti diberikan kepada pembelajaran berasaskan hasil (outcome-based education) serta meletakkan agenda utama adalah berpusatkan kepada pelajar (student-centred) menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Selain daripada kandungan dan kompetensi teknikal dalam bidang pengajian yang mesti ditekankan, aspek nilai dan kemahiran insaniah (KI) mesti dibawa bersama demi memastikan produk keluaran universiti bersifat holistik, selari dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT).
Untuk tujuan itu, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam usaha mempersiapkan para pelajarnya dengan pelbagai input berguna sepanjang empat tahun pengajian di fakulti ini.
Buktinya, menerusi kursus Analisa Litar Elektrik 1 (BEF12403) yang merupakan kursus teras bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, pensyarah kursus Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad yang juga merupakan Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Perhubungan Korporat) UTHM mengambil inisiatif dengan melaksanakan kaedah pembelajaran berasaskan masalah berorientasikan projek (PoPBL) yang antaranya menjadi teras di Aalborg University, Denmark dan terbukti membuahkan hasil yang hebat.
Beliau yang sebelum ini berpeluang menjalankan kajian kes di sana yakin kaedah ini berupaya membentuk potensi pelajar yang unggul kerana para pelajar didedahkan dengan permasalahan yang nyata selain perlu diselesaikan secara berkumpulan.
Menerusi PoPBL ini, para pelajar telah menyelesaikan permasalahan dan meneroka peluang proses memasak dalam aktiviti luar dapat dilakukan dengan menggunakan dapur solar sahaja. Kajian dan produk yang dihasilkan boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak khususnya mereka yang gemar berkelah dan berkhemah bersama keluarga dan teman-teman. Selain itu, sebagai sebuah negara dengan iklim khatulistiwa, memahami dan menghargai potensi tenaga suria sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui turut menjadi fokus, khususnya kepada para pelajar kejuruteraan elektrik yang kelak akan menggalas tugas sebagai jurutera.
Projek dapur solar ini disempurnakan secara berkumpulan. Mereka diasah dan dinilai menerusi tiga domain utama pembelajaran merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor dengan pelbagai aktiviti antaranya ialah menguruskan projek, mengenalpasti masalah, mencadangkan penyelesaian, melakukan analisa dan simulasi litar, mencadangkan model dan mengujinya. Selain itu, rekabentuk dapur solar juga memerlukan para pelajar melakukan analisa kos yang paling minimum serta memanfaatkan sumber-sumber terpakai. Ini secara langsung juga telah meningkatkan kesedaran akan peri pentingnya mencintai alam sekitar. Pelbagai reka bentuk seperti parabolik, persegi dan hibrid dibangunkan menerusi bahan terpakai seperti rangka payung dan tin biskut bagi menghasilkan sebuah dapur solar terbaik.
Lebih menarik lagi, kursus yang diambil oleh para pelajar tahun pertama semester pertama ini nyata teruja dengan pengalaman yang begitu mencabar. Menurut mereka, kaedah ini tidak didedahkan semasa di peringkat asasi, matrikulasi dan tingkatan enam, yang turut memaksa mereka memahami falsafah penting iaitu “learn to learn”. Mereka turut mengulas bahawa menerusi PoPBL ini bukan sahaja hal ehwal akademik yang mereka pelajari tetapi tidak kurang pentingnya ialah bagaimana mengurus dan mengetuai kumpulan.
Mengulas usaha ini, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FKEE UTHM, Dr. Rosli Omar yang juga hadir sebagai juri pada hari pertandingan pada 22 Disember lalu bersama Dr Shahiron Shahidan, Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Komuniti UTHM, mereka ternyata kagum dengan komitmen oleh para pelajar dan bagi mereka PoPBL dapur solar ini mesti diteruskan pada masa depan demi manfaat pelajar.
Selain itu, Dr Rosli Omar turut menjelaskan bahawa elemen penyelesaian masalah kompleks ini mesti ditekankan dan menjadi keperluan kepada badan profesional yang mengiktiraf program akademik kejuruteraan. Beliau yang hadir turut menyampaikan hadiah kepada pemenang menerusi pelbagai anugerah iaitu Reka bentuk Kejuruteraan Terbaik, Kerja Berpasukan dan Kelestarian Terbaik dan Pembentangan Terbaik.
Ringkasnya, menjadi harapan agar aktiviti pembelajaran aktif seperti ini dapat diterus dan dikembangkan bukan sahaja untuk manfaat akademik para pelajar, tetapi pastinya juga ke arah pengembangan potensi pelajar demi persediaan dunia kerjaya kelak. Selain itu, usaha menerapkan semangat cintakan alam sekitar dan memahami sumber tenaga boleh diperbaharui juga tidak boleh dipandang ringan bagi memastikan jurutera dan masyarakat itu sentiasa dekat. Peranan jurutera dalam menghasilkan solusi terbaik kepada masyarakat adalah amat penting agar ilmu sains dan teknologi itu membawa manfaat dan bukannya mudarat.