Lima pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meraih dua anugerah dalam pertandingan “Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research in Schools” (IDEERS 2015) yang telah diadakan di Taiwan National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE) Taipei, Taiwan dari 16 hingga 22 September lalu.
Akhtar Izzaty Riwayat, Muhammad Shafiq Syazwan Zulkarnain, Nur Amira Afiza Saiful Bahari, Nurul Hafizha Ahmad Tarmizi dan Nurul Liyana Ghazali yang diiringi Penyelia, Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Quake Resistance Awards dan Top 15 Awards selain menduduki tempat ke-13 dari 42 penyertaan bagi kategori Undergraduate.
Pertandingan anjuran National Applied Research Laboratories (NARL), the National Centre for Research on Earthquake Engineering (NCREE), dan National Science and Technology Centre for Disaster Reduction (NCDR) diadakan sebagai salah satu agenda bagi memperingati kejadian gempa bumi yang telah melanda Taiwan pada tahun 1999 (Chi-Chi Earthquake).
Ini merupakan pengalaman yang berharga bagi UTHM kerana ia bukan sahaja disertai oleh universiti dan institut pengajian tempatan di Taiwan, malah turut disertai oleh universiti-universiti terkemuka di Asia antaranya National University of Singapore, Tokyo Denki University, University of the Philippines dan Hong Kong University of Science and Technology.
Justeru, keupayaan peserta meletakkan nama UTHM di kedudukan yang membanggakan wajar dijadikan contoh kepada warga universiti yang lain untuk turut sama berusaha membawa nama universiti ke peringkat dunia.

Source: Lima Pelajar FKAAS raih anugerah di “IDEERS 2015” Taiwan