Oleh Prof. Madya Dr. Fadillah Ismail
MAKASSAR, 2 Februari 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan melalui pelaksanaan PANRITA #12 (Visiting Professor Activity Schedule) yang berlangsung pada 1 hingga 7 Februari 2026 lalu bertempat di Universiti Muhammadiyah Makassar (UNISMUH).
Bagi mengukuhkan komitmen kerjasama antara dua universiti, delegasi UTHM yang diketuai Profesor Dr. Narimah Kasim telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama UNISMUH yang diketuai Rektornya, Profesor Dr. Ir. Abd. Rakhim Nanda.
Sepanjang program, UTHM mengangkat naratif ‘UTHM Go Global’ dengan mengetengahkan kepakaran berteraskan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang bersifat praktikal dan berorientasikan penyelesaian isu sebenar melalui enam siri perkongsian ilmu iaitu tadbir urus, transformasi digital, literasi kewangan, pembangunan modal insan dan pengurusan sisa.
Dalam usaha memperluas jaringan serantau, kerjasama turut diperkukuh melalui pertemuan strategik bersama warga Universiti Hasanuddin (UNHAS), termasuk sesi libat urus dengan Timbalan Rektor, Profesor Dr. Eng. Adi Mualana bagi membincangkan aktiviti bagi tahun 2026 seperti mobiliti akademik, penerbitan bersama, kolaborasi persidangan antarabangsa serta pengukuhan jaringan keilmuan.
Antara pencapaian utama yang direkodkan ialah penghantaran lima pelajar UNISMUH bagi mengikuti program mobiliti di UTHM, sekali gus memperkukuh pertukaran ilmu, pendedahan amali dan pengalaman TVET berimpak.
Penjenamaan antarabangsa UTHM turut dipertingkat melalui sesi podcast bersama Dr. Zahrul Akmal yang disiarkan di saluran televisyen di Indonesia, sekali gus memperluaskan lagi visibiliti dan penjenamaan universiti kepada masyarakat serantau.
PANRITA #12 membuktikan impak berasaskan hasil yang nyata melalui pemeteraian MoU, pengukuhan mobiliti pelajar serta jaringan akademik, selain kesinambungan kolaborasi yang turut menyokong pencapaian satu geran antarabangsa dan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) oleh Prof. Madya Dr. Fadillah Ismail.
Pemeteraian kerjasama tersebut berupaya mengukuhkan lagi reputasi UTHM sebagai universiti peneraju TVET yang kompetitif dan diyakini peringkat antarabangsa.



