Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) bukan lagi pilihan tetapi ia sudah menjadi landskap dalam pekerjaan global dan tempatan. Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengunjurkan bahawa menjelang 2030, walaupun 92 juta pekerjaan akan terjejas oleh automasi tetapi terdapat 78 juta pekerjaan baharu turut dijangka wujud di peringkat global. Oleh itu, tenaga kerja negara perlu bersedia menyesuaikan diri dengan kemahiran baharu yang diperlukan oleh pelbagai sektor industri. Cabaran persaingan global, perubahan teknologi dan dinamika pekerjaan digital menjadikan cabaran kepada tenaga kerja negara dalam menghadapi era AI, terutama bakal graduan yang menjadi nadi penjanaan bakat masa depan.
Struktur tenaga kerja negara
Menurut laporan keluaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah tenaga buruh Malaysia terus berkembang kepada 16.9 juta pada 2024, manakala kadar penyertaan tenaga buruh dalam pasaran meningkat kepada 70.6 peratus. Walau bagaimanapun, majoriti pekerja masih berada dalam kategori separa mahir (56.5 peratus), diikuti oleh pekerja mahir (4.94 juta) dan berkemahiran rendah (2.17 juta). Ini menunjukkan bahawa struktur buruh negara perlu diperkasa untuk melangkah ke pekerjaan berteknologi tinggi.
Unjuran pasaran kerja menunjukkan bahawa banyak pekerjaan lama akan lenyap, tetapi banyak peluang baharu akan muncul terutamanya dalam bidang digital, analitik data, keselamatan siber dan pengurusan teknologi.
AI mengubah cara bekerja
AI bukan sekadar menggantikan tenaga kerja, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu dalam teknologi yang semakin berkembang. Namun, teknologi ini turut memberi kesan yang besar terhadap jenis pekerjaan yang diperlukan dalam pelbagai sektor. Menurut laporan, 81 peratus majikan di Malaysia menghadapi kesukaran mendapatkan bakat AI dan hampir 90 peratus majikan menganggap kemahiran ini kritikal untuk masa depan pekerjaan.
AI dijangka memberi impak kepada lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang, terutama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat. Transformasi ini memerlukan pelaburan semula dalam latihan dan pembangunan bakat, dengan lebih 600,000 pekerja perlu diberi peluang upskilling dan reskilling untuk mengekalkan relevansi mereka.
RPTM 2026–2035 berperanan sebagai pemangkin perubahan. Pelan pendidikan tinggi ini menekankan integrasi AI, digitalisasi, STEAM dan TVET ke dalam kurikulum, membolehkan graduan bukan sahaja menguasai ilmu asas, tetapi juga kemahiran praktikal dan analitikal yang diperlukan industri. Lonjakan strategik RPTM 2026–2035 memastikan graduan bersedia menghadapi pasaran kerja masa depan yang dinamik, sambil memupuk nilai kemanusiaan, etika dan daya kreativiti.
Selain itu, RPTM 2026–2035 juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang menekankan transformasi ekonomi Malaysia daripada pengeluaran berasaskan kos kepada industri bernilai tinggi dan berteknologi. AI dan automasi menjadi enjin utama NIMP 2030 untuk meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing global.
Dengan menyediakan tenaga kerja yang mahir digital dan berkemahiran tinggi, RPTM 2026–2035 secara langsung menyokong matlamat NIMP 2030 iaitu memastikan negara mempunyai bakat tempatan yang mampu mengisi sektor teknologi tinggi, penyelidikan berimpak tinggi dan industri berasaskan inovasi.
Dalam sektor teknologi dan pembuatan yang dipacu oleh AI, terdapat kekurangan bakat khusus, termasuk jurutera AI, saintis data, pakar keselamatan siber, dengan bayaran gaji sering jauh melebihi purata nasional. Graduan perlu dilengkapi kemahiran baharu, digital dan analitikal untuk menghadapi ekonomi berteknologi tinggi.
Oleh itu, RPTM 2026–2035 bukan sahaja menyediakan landasan pendidikan, tetapi juga menggariskan strategi pembelajaran fleksibel, TVET dan latihan sepanjang hayat bagi menutup jurang kemahiran antara graduan dan industri. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi NIMP 2030, yang menekankan keperluan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing global sebagai tunjang kejayaan ekonomi berteknologi tinggi.
Peranan pendidikan tinggi dan TVET
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dilihat sebagai satu usaha menyeluruh untuk mengatasi cabaran ini, dengan menekankan pendidikan berpaksikan kemanusiaan, integrasi AI dalam kurikulum dan pembelajaran sepanjang hayat. Pelan ini juga memberi penekanan kepada TVET sebagai komponen utama dalam membina tenaga kerja yang lebih adaptif dan relevan.
Integrasi kemahiran digital dan AI ke dalam TVET telah mula dilaksanakan kepada pelajar melalui pensijilan dalam bidang automasi, robotik, analitik data dan sistem industri. Kemahiran ini penting untuk ekonomi berasaskan pengetahuan dan industri berteknologi tinggi.
Selain itu, kerajaan juga mengiktiraf keperluan untuk meningkatkan kompetensi pendidik dalam digital dan AI. Sebagai contoh, kerajaan telah merancang untuk melatih semula lebih 100,000 guru dalam pedagogi digital berkuasa AI, bagi memastikan guru tidak hanya mentransmisikan ilmu, tetapi turut membentuk kemahiran abad ke‑21 dalam kalangan pelajar.
Pembelajaran sepanjang hayat
Pembelajaran sepanjang hayat menjadi prasyarat dalam memastikan pekerja terus relevan dalam pasaran. Inisiatif seperti National AI Roadmap mensasarkan latihan semula dan peningkatan kemahiran bagi ratusan ribu rakyat Malaysia untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam dunia kerja digital.
Institut latihan, platform digital dan program kerjasama industri memainkan peranan penting dalam menyediakan laluan fleksibel untuk pekerja dan graduan meningkatkan kemahiran mereka, menyesuaikan diri dengan peralihan pekerjaan akibat AI.
Kajian juga menunjukkan pekerja muda dan wanita berada dalam risiko lebih tinggi terdedah kepada penggantian oleh AI generatif dan sekitar 28 peratus daripada tenaga buruh Malaysia berada dalam kategori yang memerlukan perubahan ini. Ini menjadi satu cabaran sosial dan ekonomi yang memerlukan pendekatan dasar yang lebih inklusif untuk memastikan golongan rentan tidak tertinggal dalam dunia kerja baharu.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Malaysia telah mengambil tindakan yang strategik dalam menghadapi era AI melalui dasar pendidikan, digitalisasi dan latihan kemahiran. Struktur asas seperti sistem pendidikan yang baik dan inisiatif TVET yang semakin dinamik menunjukkan negara berada pada landasan positif.
Malaysia perlu bergerak lebih pantas dalam memperkasakan pendidikan tinggi, TVET, dasar pekerjaan dan kerjasama industri. Jika usaha ini dilaksanakan secara strategik dan menyeluruh, AI bukan lagi menjadi ancaman kepada pekerjaan, tetapi juga pembuka peluang kerjaya bernilai tinggi, mampan dan inklusif.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
