Kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) berlaku secara berterusan setiap tahun. Kebiasaannya, pelajar akan berada di universiti antara dua hingga empat tahun untuk menamatkan pengajian mereka. Tempoh yang relatif singkat ini menunjukkan bahawa pelajar memerlukan kemudahan kediaman sementara seperti bilik asrama atau kolej kediaman sepanjang tempoh mereka belajar. Atas faktor kemudahan pergerakan ke kuliah, penglibatan dalam aktiviti universiti, serta kadar sewaan yang lebih rendah berbanding sewaan di luar kampus, ramai pelajar memilih untuk tinggal di kolej kediaman dalam kampus.

Namun, sebahagian institusi pengajian tinggi berdepan kekangan penyediaan kediaman yang mencukupi, khususnya bagi pelajar senior yang sering tidak mendapat tempat di asrama. Kebanyakan kolej kediaman hanya mampu menampung pelajar tahun pertama atau tahun akhir, manakala pelajar di pertengahan pengajian perlu mencari alternatif lain. Keadaan ini membuka ruang kepada komuniti setempat untuk menjana pendapatan melalui penyediaan rumah atau bilik sewa kepada pelajar. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan wujud segelintir pemilik rumah yang mengenakan kadar sewaan yang tinggi, sekali gus memaksa pelajar berkongsi ruang yang sempit demi mengurangkan kos. Situasi ini menambah tekanan kepada pelajar yang sudah berdepan komitmen kewangan lain seperti yuran pengajian, makanan, pengangkutan dan pembelian bahan pembelajaran.

Beban ekonomi yang ditanggung pelajar semakin ketara dalam era kos sara hidup yang meningkat. Realitinya, tidak semua pelajar datang daripada latar belakang keluarga berada atau sederhana. Ada dalam kalangan mereka yang bergantung pada bantuan zakat, biasiswa atau sokongan keluarga yang terhad. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila kawasan institusi pengajian tinggi mempunyai bilangan rumah sewa yang terhad tetapi permintaan sangat tinggi, menyebabkan kadar sewaan meningkat seperti hukum asas ekonomi: penawaran rendah, permintaan tinggi. Walaupun universiti berusaha menambah kapasiti kediaman, proses pembinaan memerlukan masa, dana yang besar serta kelulusan pelbagai pihak. Akhirnya, pelajar menjadi pihak yang paling terkesan.

Justeru, usaha yang lebih tersusun dan berstrategi amat diperlukan bagi meringankan bebanan kediaman sementara pelajar melalui perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang. Di peringkat jangka pendek, universiti boleh memperluas skim bantuan sewaan pelajar, menyediakan subsidi kediaman atau berkolaborasi dengan koperasi setempat untuk menawarkan sewaan pada kadar terkawal. Dalam jangka sederhana, penambahan kolej kediaman atau pembangunan blok kediaman modular boleh menjadi langkah cepat dan kos efektif. Namun solusi jangka panjang perlu bersifat mampan, tidak berlandaskan pembiayaan semata-mata daripada yuran universiti atau peruntukan kerajaan.

Salah satu pendekatan yang berpotensi besar ialah memperkasakan institusi waqaf di peringkat pengajian tinggi. Konsep wakaf bukan sekadar pemberian harta untuk tujuan amal, tetapi satu instrumen pembangunan sosioekonomi yang mampu mencipta impak berpanjangan. Di banyak negara Islam, wakaf pendidikan digunakan bagi menyediakan biasiswa, menampung kos operasi universiti, membangunkan perpustakaan dan membina kompleks kediaman pelajar. Melalui konsep wakaf tunai, masyarakat dan alumni boleh menyumbang bagi membantu pelajar yang memerlukan, terutamanya dalam pembayaran sewa atau pembiayaan pembangunan kolej kediaman baharu di atas tanah wakaf. Model ini bukan sahaja menurunkan kebergantungan pelajar terhadap pinjaman, malah mengukuhkan peranan universiti sebagai institusi yang memayungi kebajikan masyarakat.

Pelaksanaan wakaf di universiti juga boleh diwujudkan secara kreatif dan pelbagai bentuk. Misalnya, dana wakaf khusus bagi membiayai kemudahan berkongsi seperti dapur komuniti, bilik pembelajaran, ruang rehat atau tempat solat dalam kolej kediaman. Kemudahan sebegini menjadikan kehidupan pelajar lebih kondusif dan sihat secara mental, selain mendorong budaya akademik yang positif. Alumni yang pernah melalui kesukaran ketika belajar pula boleh menjadi kumpulan penyumbang utama kerana mereka memahami keperluan sebenar pelajar di lapangan. Dengan perancangan rapi, universiti boleh memperkenalkan platform digital wakaf yang telus, mesra pengguna dan membenarkan penyumbang memantau perkembangan projek.

Contoh kejayaan institusi wakaf dapat dilihat melalui Universiti Al-Azhar di Mesir, yang ditubuhkan sejak tahun 975 Masihi. Universiti ini berkembang pesat hasil sokongan wakaf dan sehingga kini terus melahirkan ramai ilmuwan serta ulama tersohor dari seluruh dunia. Sistem pendidikan Al-Azhar bertapak kukuh kerana sumber kewangan waqaf mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan yuran pelajar. Di Turki pula, universiti-universiti lama seperti Istanbul dan Fatih pada era Uthmaniyyah turut dibangunkan melalui tradisi wakaf, termasuk penyediaan asrama, perpustakaan dan kemudahan kesihatan untuk pelajar. Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa wakaf mampu menjadi sumber kewangan mampan untuk pembangunan pendidikan dan infrastruktur pelajar.

Di Malaysia, semangat wakaf sebenarnya sudah lama berakar umbi melalui institusi masjid, sekolah agama rakyat dan pondok tradisional. Namun, pelaksanaan wakaf di universiti masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Kebanyakan universiti memiliki unit wakaf, namun skala pelaksanaannya cenderung kecil dan tertumpu kepada projek sekali-sekala. Untuk menjadikan wakaf sebagai mekanisme kebajikan yang strategik, pengurusan wakaf perlu dilaksanakan secara profesional dengan pemantauan yang telus, audit berkala, serta pelaporan penggunaan dana yang jelas kepada penyumbang. Kepercayaan masyarakat adalah asas utama yang menentukan kejayaan inisiatif ini.

Lebih menarik lagi, konsep wakaf moden tidak terbatas kepada sumber tradisional seperti tanah atau bangunan. Wakaf korporat melalui kerjasama syarikat swasta, badan amanah atau koperasi boleh diwujudkan bagi membina kediaman pelajar secara berperingkat. Pihak universiti boleh bertindak sebagai pemegang amanah yang menguruskan aset berwakaf mengikut garis panduan syariah, manakala syarikat-syarikat Islamik pula menyumbang dalam bentuk dana atau kepakaran pembangunan. Model ini bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan universiti, malah membuka ruang kepada industri untuk menyumbang kepada pembangunan bakat masa depan negara.

Oleh itu, sudah tiba masanya institusi pengajian tinggi di Malaysia meneroka secara serius potensi wakaf sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan. Dengan pengurusan yang telus, profesional dan berstrategi, wakaf boleh menjadi solusi jangka panjang untuk menyediakan kediaman pelajar yang lebih selesa, mampu sewa dan berdaya saing demi kesejahteraan generasi masa depan negara. Pelajar yang kurang terbeban akan lebih fokus kepada akademik, lebih aktif dalam aktiviti universiti dan lebih bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat setelah tamat pengajian kelak. Pendidikan tinggi bukan sekadar proses mendapatkan ijazah, tetapi pelaburan jangka panjang terhadap modal insan. Wakaf, jika digerakkan secara betul, mampu menjadi pemangkin kepada ekosistem pendidikan yang lebih adil, berdaya tahan dan berakhlak.

Ts.Dr. Nur Arzwin Mohamed Aris
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 5 Februari 2026: Wakaf penyelesaian masalah kediaman pelajar

 

2. Utusan (utusan.com.my), 5 Februari 2026: Wakaf penyelesaian masalah kediaman pelajar 

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/02/wakaf-selesai-masalah-kediaman-pelajar/