Pelancaran Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh kualiti pendidikan secara menyeluruh. Cadangan memulakan prasekolah pada usia lima tahun dan tahun satu pada enam tahun menunjukkan usaha kerajaan memperkukuh pendidikan mengikut keperluan masa depan.
Namun, reformasi pendidikan yang berkesan tidak boleh bergantung pada umur semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan kesediaan perkembangan kanak-kanak. Keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan pelaksanaan secara serta-merta menunjukkan kebijaksanaan dasar, kerana ia memberi ruang kepada perancangan rapi, penyesuaian kurikulum dan kesiapsiagaan semua pihak khususnya kanak-kanak dan keluarga. Perbincangan ini bukan menolak aspirasi reformasi, tetapi memperkukuh pelaksanaannya agar selari dengan prinsip perkembangan dan kesejahteraan jangka panjang kanak-kanak.
Kesediaan ke sekolah, lebih daripada sekadar umur
Kesediaan kanak-kanak untuk memasuki alam persekolahan formal tidak wajar diukur berdasarkan umur kronologi semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dinilai secara menyeluruh merangkumi aspek perkembangan jasmani (motor kasar dan halus), emosi (pengawalan emosi dan daya tahan), sosial (interaksi, kerjasama, dan empati), intelek (pemikiran, bahasa, dan penyelesaian masalah), serta rohani dan pembentukan nilai kendiri.
Pada usia enam tahun, variasi perkembangan adalah sesuatu yang normal. Terdapat kanak-kanak yang sudah bersedia dari segi kognitif, namun masih memerlukan sokongan dari sudut emosi atau sosial. Kepelbagaian ini menuntut pendekatan pendidikan yang fleksibel dan sensitif terhadap keperluan individu.
Kesediaan kanak-kanak juga dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi, persekitaran keluarga, akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti, serta latar bahasa di rumah. Kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah atau kawasan luar bandar mungkin mempunyai pengalaman pembelajaran awal yang berbeza berbanding rakan sebaya mereka di kawasan bandar, walaupun berada pada umur kronologi yang sama.
Memahami cara kanak-kanak belajar pada usia awal
Dalam perkembangan kanak-kanak, dua konsep penting sering dibincangkan, iaitu perkembangan normal dan perkembangan dinamik. Perkembangan normal merujuk kepada kebolehan lazim yang dicapai pada usia tertentu, manakala perkembangan dinamik pula merujuk kepada perubahan berterusan yang dipengaruhi oleh pengalaman, persekitaran, dan rangsangan sepanjang pembesaran. Ini bermakna setiap kanak-kanak berkembang mengikut kadar dan keunikan tersendiri.
Pada usia bawah enam tahun, perkembangan otak berlaku dengan sangat pesat. Dalam tempoh ini, kanak-kanak belajar dengan paling berkesan melalui aktiviti bermain, interaksi sosial, penerokaan persekitaran dan pengalaman pembelajaran yang fleksibel. Jika mereka didedahkan terlalu awal kepada pembelajaran formal yang terlalu berstruktur dan berorientasikan akademik, sedangkan tahap kematangan perkembangan belum seimbang, ia berisiko menjejaskan keseimbangan perkembangan dan potensi semula jadi mereka.
Antara kesan yang boleh timbul termasuk keletihan mental, tekanan emosi, kekeliruan dalam pembelajaran, serta kehilangan minat intrinsik terhadap sekolah. Pendidikan awal yang tergesa-gesa berpotensi menjadikan pembelajaran satu beban, bukannya pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan minat belajar dan menjejaskan sikap positif terhadap sekolah.
Persoalan kritikal yang perlu ditanya ialah sama ada kita benar-benar mendidik mengikut tahap perkembangan kanak-kanak (Developmentally Appropriate Practice), atau sekadar mengejar sukatan pelajaran dan pencapaian akademik awal. Pendidikan awal kanak-kanak seharusnya menumpukan pembinaan asas perkembangan dan pemupukan minat, bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata.
Kesinambungan kurikulum: Prasekolah ke sekolah rendah
Sekiranya pendidikan formal dimulakan pada usia enam tahun, kurikulum prasekolah perlu dinilai semula agar peralihan ke sekolah rendah lancar. Usia bawah enam tahun merupakan fasa kritikal pembentukan kemahiran sosial, emosi, identiti kendiri, dan hubungan dengan persekitaran. Proses ini memerlukan masa, ruang, dan pengalaman mencukupi; jika dipercepatkan, kanak-kanak berisiko kehilangan kegembiraan belajar dan motivasi instrinsik yang merupakan asas pembelajaran sepanjang hayat.
Pandangan antarabangsa menyokong prinsip ini. Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Professor Lilian G. Katz, menegaskan pengenalan kurikulum akademik terlalu awal mungkin memberi hasil jangka pendek tetapi berpotensi menjejaskan perkembangan minat dan kesejahteraan kanak-kanak dalam jangka panjang. Dalam konteks Malaysia, prinsip ini relevan untuk menilai permulaan pendidikan formal pada usia enam tahun, khususnya terhadap kesejahteraan dan minat belajar kanak-kanak tempatan.
Sebagai contoh, kanak-kanak yang dilatih membaca secara intensif terlalu awal mungkin menguasai kemahiran dengan cepat, tetapi hanya melalui hafalan dan latihan berulang (drill and practice), tanpa kefahaman atau minat sebenar. Dalam jangka panjang, minat semula jadi mereka berisiko merosot sebelum sempat berkembang. Walaupun membina minat tanpa kemahiran mempunyai kelemahannya, membina kemahiran tanpa minat adalah lebih membimbangkan, kerana tabiat membaca dan kecintaan terhadap ilmu sukar dipupuk secara berterusan.
Peranan ibu bapa dalam menyokong transisi ke darjah 1
Dalam konteks perubahan dasar ini, ibu bapa memainkan peranan advokasi yang amat penting bagi memastikan hak perkembangan anak terpelihara. Antara perkara utama yang wajar diberi perhatian ialah kesediaan emosi anak, keupayaan mengurus kekecewaan dan menyesuaikan diri dengan rutin baharu, kemahiran sosial dan kendiri, serta minat terhadap pembelajaran yang melangkaui kebolehan akademik semata-mata.
Di Malaysia, tekanan sosial dan perbandingan pencapaian antara kanak-kanak sering berlaku secara tidak langsung, sama ada melalui perbualan sesama ibu bapa, media sosial, atau norma komuniti setempat. Keadaan ini boleh mendorong ibu bapa membuat persediaan akademik yang berlebihan, tanpa menyedari implikasinya terhadap kesejahteraan emosi anak. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi sokongan berasaskan keperluan sebenar kanak-kanak dan bukan semata-mata mengikut norma sosial atau jangkaan masyarakat.
Kerjasama dan komunikasi yang erat dengan guru juga amat penting bagi memahami keperluan sebenar kanak-kanak sepanjang fasa peralihan ini. Ibu bapa wajar menjadi suara yang mempertahankan hak perkembangan anak, bukannya sekadar mengikuti arus perbandingan sosial.
Pelaksanaan Berhikmah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM 2026–2035)
Pendidikan berkualiti bukan sekadar menghasilkan kanak-kanak yang cepat menguasai kemahiran akademik, tetapi juga membentuk individu yang mencintai pembelajaran, sejahtera secara emosi dan sosial, serta berkembang secara seimbang.
Perubahan hala tuju pendidikan wajar disambut dengan positif, namun perlu dilaksanakan secara berhati-hati, berasaskan bukti ilmiah, dan berpaksikan kepentingan perkembangan serta kesejahteraan kanak-kanak. Tiada sistem pendidikan yang sempurna; setiap negara mempunyai sumber, demografi, dan cabaran tersendiri. Dengan struktur yang tepat dan pelaksanaan berperingkat, permulaan pendidikan formal lebih awal berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
Kejayaan RPM 2026–2035, khususnya cadangan menetapkan umur masuk sekolah pada enam tahun, bergantung kepada kerjasama ibu bapa, guru dan masyarakat untuk merealisasikan pendidikan yang seimbang dan bermakna. Ini juga peluang untuk kita menilai bersama hala tuju pendidikan awal kanak-kanak, supaya setiap anak mendapat permulaan yang menyeronokkan, bermakna, dan seimbang.

Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim
Jabatan Pendidikan Ikhtisas Pendidikan dan Siswazah
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
