Oleh Dr. Hana Syafiqah Sayeed Ibrahim,Ts. Dr. Salasiah Mohamad

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dan Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) telah menganjurkan program sulungnya Student Research and Innovation Poster Exhibition (SRIPE) 2026 pada 13 dan 14 Januari 2026 lalu.

Program selama dua hari bertempat di Dewan A9, Kolej Kediaman Pelajar, UTHM Kampus Pagoh itu menjadi platform penting kepada seramai 140 pelajar tahun akhir, terdiri daripada 101 pelajar Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) (BWD) dan 39 pelajar Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) (BWW) untuk mempamerkan hasil penyelidikan serta inovasi Projek Sarjana Muda masing-masing kepada umum.

Selain penilaian oleh juri profesional dalam kalangan pensyarah, program itu turut diperkukuh dengan penglibatan 14 panel industri daripada pelbagai agensi dan syarikat terkemuka, antaranya Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn. Bhd., Budayatama Corporation Sdn. Bhd., GHS Food Industries Sdn. Bhd., Epic Ingredients Sdn. Bhd., Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd., MBF Holdings Sdn. Bhd., Synergy One Holding Sdn. Bhd., Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pusat Keselamatan Makanan Kebangsaan.

Turut diadakan slot perkongsian eksklusif bertajuk “Food Innovation from Industry Perspective” yang disampaikan oleh Penasihat Industri, Khairul Nizam Yaakob, Ketua Serantau Hal Ehwal Kawal Selia dan Pematuhan Makanan, Asia Pasifik, Jacobs Douwe Egberts RTL SFM MY Sdn. Bhd.

Perkongsian tersebut memberi pendedahan bermakna kepada pelajar mengenai realiti pembangunan produk inovatif serta keperluan pematuhan industri selaras dengan kehendak pasaran semasa.

Majlis penutup SRIPE 2026 telah disempurnakan oleh Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang yang turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Bagi Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) (BWD), pingat emas telah dimenangi oleh Theventhira Rau Anandan, diikuti pingat perak oleh Nur Mardhiah Musfirah Aminudin dan pingat gangsa oleh Nur Afiqah Zulkpli, manakala Nur Ain SofeaMohd Efandi telah menerima Anugerah Pilihan Industri.

Sementara itu, bagi Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) (BWW), Yeoh Jing telah dinobatkan sebagai pemenang pingat emas, diikuti Nuraisyah Farhana Ab Hadi pingat perak dan Mumtaz Murfiqah Mazdi pingat gangsa, manakala Aliyah Adriana Mohammad pula menerima Anugerah Pilihan Industri.

Dr. Noor Azura dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi seliruh jawatankuasa yang diketuai Prof. Madya Chm. Dr. Norhayati Muhammad.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat, kesungguhan dan daya saing yang ditunjukkan oleh para peserta.

“Menang atau kalah bukanlah penentu segalanya. Perkara paling utama ialah proses pembelajaran, pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam SRIPE 2026.

“Program ini wajar diteruskan sebagai agenda tahunan fakulti dalam usaha melahirkan graduan UTHM yang unggul, kompeten dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

SRIPE 2026 terbukti mampu menjadi platform persediaan akhir yang efektif dalam memperkasa pelajar dengan pengalaman pembentangan profesional serta pendedahan kepada keperluan sebenar industri.