Malaysia sedang melangkah ke satu fasa penting dalam pembangunan modal insan apabila pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kini diberi nafas baharu selaras dengan era digital dan kecerdasan buatan (AI). Perubahan landskap teknologi global menuntut sistem pendidikan negara bergerak lebih pantas, lebih anjal dan lebih berpaksikan masa hadapan. Dalam konteks ini, TVET muncul sebagai pemacu utama dalam menyediakan bakat yang benar-benar relevan dengan keperluan industri semasa dan akan datang.

Tumpuan kini bukan sekadar melahirkan graduan berkemahiran teknikal, tetapi bakat yang “future-ready” yang mana graduan perlu bersedia menghadapi perubahan teknologi yang pantas serta mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran kerja baharu. Pendekatan ini selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan aspek kesiapsiagaan masa hadapan dan kebolehpasaran graduan sebagai antara cabaran utama yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Pada era digital, kemahiran asas sahaja tidak lagi mencukupi. Graduan TVET perlu menguasai literasi digital dan AI, kemahiran kognitif aras tinggi seperti penyelesaian masalah dan pemikiran kreatif, serta keupayaan untuk terus belajar sepanjang hayat. Konsep learn, unlearn and relearn menjadi semakin penting apabila teknologi sentiasa berubah. Justeru, pendekatan pembelajaran berasaskan micro-credential, upskilling dan reskilling berterusan dilihat sebagai strategi utama memastikan tenaga kerja sentiasa relevan.

Lebih daripada itu, bakat masa depan juga perlu diperkukuh dengan nilai etika dan tanggungjawab sosial, khususnya dalam penggunaan teknologi dan AI. Kemahiran hijau (green skills), kesedaran terhadap kelestarian serta kesejahteraan sosial turut menjadi komponen penting dalam membentuk tenaga kerja yang bukan sahaja cekap, tetapi beretika dan berjiwa kemanusiaan. Aspirasi bakat yang digariskan dalam RPTM menekankan ciri adaptif, tangkas, berdaya tahan serta mampu menjadi pembina negara yang berintegriti.

Perkembangan TVET di Malaysia juga menunjukkan perubahan persepsi yang semakin positif. TVET kini tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya sebagai laluan pendidikan utama yang menjanjikan kerjaya berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi. Dengan lebih 1,300 institusi TVET merentasi pelbagai kementerian, agensi kerajaan negeri dan sektor swasta, ekosistem TVET negara sebenarnya cukup luas dan berpotensi besar untuk menyokong agenda pembangunan negara.

TVET di Malaysia juga merangkumi pelbagai tahap, daripada melahirkan tenaga kerja teknikal peringkat operator sehinggalah teknologis dan jurutera berkemahiran tinggi melalui TVET termaju. Institusi di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) memainkan peranan penting dalam menawarkan program kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan bidang teknologi berkaitan yang menghubungkan dunia akademik dan industri. Malah, pengumuman terkini mengenai penyenaraian beberapa politeknik sebagai politeknik premier yang menawarkan program TVET peringkat sarjana muda membuktikan komitmen serius kerajaan dalam memperkasa laluan ini.

Penguasaan digital dan AI dalam kalangan pelajar TVET juga amat penting untuk menyokong pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Dasar TVET Negara memberi penekanan kepada tadbir urus bersepadu, TVET dipacu industri serta kualiti program yang relevan dan fleksibel. Integrasi teknologi digital, AI dan pensijilan dwi (akademik serta kemahiran) menjadi antara strategi utama bagi memastikan graduan benar-benar memenuhi keperluan industri.

Konsep TVET 4.0 yang sedang diperkukuh kini akan berkembang ke arah TVET 5.0 selepas 2030, yang lebih berteraskan manusia (human-centric). Dalam pendekatan ini, teknologi pintar dimanfaatkan secara berhikmah untuk meningkatkan kualiti hidup manusia, bukan menggantikannya. Oleh itu, graduan TVET masa depan bukan sahaja perlu celik teknologi, tetapi juga mempunyai empati, nilai murni dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Keperluan bakat ini jelas selari dengan fokus sektor utama dalam NIMP 2030 seperti elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan petrokimia, jentera dan peralatan, aeroangkasa, peranti perubatan, teknologi hijau, automotif termasuk kenderaan elektrik (EV), ekonomi digital, keselamatan siber, pembuatan pintar, serta agro-teknologi dan bioteknologi. Tanpa bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang ini, aspirasi Malaysia untuk menjadi negara perindustrian maju akan sukar direalisasikan.

Bagi memastikan agenda pemerkasaan TVET berteraskan digital dan AI ini berjaya, transformasi menyeluruh perlu melibatkan keseluruhan ekosistem terdiri merangkumi institusi TVET, industri, kerajaan dan masyarakat. Institusi perlu menaik taraf infrastruktur, infostruktur dan budaya digital di kampus bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran pintar. Kurikulum juga perlu direka-bentuk semula supaya lebih futuristik, fleksibel dan responsif terhadap perubahan teknologi.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran pula harus berasaskan kolaborasi erat dengan industri melalui co-creation curriculum, pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning), projek industri sebenar, program perantisan serta penglibatan pakar industri sebagai penilai bersama. Tenaga pengajar juga perlu diperkasa dengan kemahiran digital dan AI supaya mereka mampu memimpin transformasi ini dengan berkesan. Pada masa sama, tadbir urus TVET perlu memanfaatkan data pintar bagi membuat keputusan yang lebih tepat dan strategik.

Justeru itu, kejayaan TVET dalam era digital dan AI bukan hanya tentang teknologi, tetapi tentang manusia iaitu bagaimana kita membentuk generasi yang berilmu, berkemahiran, beretika dan berdaya saing global. Dengan perancangan rapi, sokongan padu industri serta komitmen berterusan kerajaan, TVET berpotensi menjadi tulang belakang kepada pembinaan negara maju berteraskan inovasi. Inilah masa untuk melihat TVET bukan sekadar laluan alternatif, tetapi sebagai arus perdana pembinaan bakat unggul negara.

 

 

Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Dr. Anim Zalina binti Azizan

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)