Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang besar kedudukannya di sisi Allah SWT, namun sering dilalaikan oleh kebanyakan manusia. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang masyhur apabila Baginda bersabda:

“Daripada Usāmah bin Zayd r.a.: Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada sebulan (sunat) seperti yang engkau lakukan pada bulan Sya‘bān.’ Baginda bersabda: ‘Itulah bulan yang sering dilalaikan oleh manusia iaitu antara (bulan) Rajab dan Ramadan; ia adalah bulan yang mana amalan diangkat kepada Rabb semesta alam, dan aku suka amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.’

(Sunan al-Nasa’ī, Sunan Abū Dāwūd, Musnad Aḥmad dan juga diriwayatkan oleh Ibn Khuzaymah)

Syaaban hadir di antara dua bulan yang sangat dimuliakan Rejab dan Ramadan menjadikannya seakan-akan terpinggir dalam perhatian umat Islam. Namun hakikatnya, Syaaban adalah bulan yang sarat dengan peristiwa besar dan pengajaran penting yang wajar dihidupkan dengan kesedaran, amal dan perjuangan.

Antara peristiwa agung yang berlaku dalam bulan Syaaban ialah :

  • Peristiwa tahwilul qiblah, iaitu perubahan arah kiblat umat Islam daripada Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Peristiwa ini bukan sekadar perubahan arah solat, bahkan membawa mesej akidah, ketaatan mutlak kepada perintah Allah, serta mengangkat kedudukan Masjidil Aqsa sebagai qiblat pertama umat Islam dan masjid ketiga paling suci dalam Islam.
  • Bulan Syaaban juga dimuliakan dengan turunnya firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56 yang menyeru umat Islam agar memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW. Para ulama menyebut bahawa bulan Syaaban adalah antara bulan yang sangat digalakkan untuk memperbanyakkan selawat sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Dalam bulan Syaaban terdapat satu malam yang sangat istimewa dalam kalender Islam, iaitu malam Nisfu Syaaban. Malam ini jatuh pada pertengahan bulan Syaaban dan mendapat perhatian besar dalam tradisi keilmuan Islam. Sebahagian ulama menamakannya sebagai Lailatul Mubarakah kerana keberkatan yang dilimpahkan oleh Allah SWT pada malam tersebut, manakala sebahagian yang lain menyebutnya sebagai Lailatul Taqsim, iaitu malam penentuan dan pembahagian takdir bagi tempoh setahun yang akan datang dengan izin Allah SWT. Justeru, malam ini wajar diisi dengan pelbagai amalan ibadah sebagai persediaan rohani menjelang Ramadan.

Menghidupkan malam Nisfu Syaaban: Amalan, dalil dan hikmahnya

Malam Nisfu Syaaban merupakan antara malam yang sering diberi perhatian oleh umat Islam kerana ia terletak di pertengahan bulan Syaaban, bulan yang menjadi jambatan menuju Ramadan. Para ulama menjelaskan bahawa bulan Syaaban sendiri adalah bulan yang dipenuhi amalan Nabi ﷺ, justeru malam-malamnya wajar dihidupkan dengan ibadah dan muhasabah diri.

Berikut antara amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam, berserta dalil dan penjelasan ringkasnya:

1. Membaca al-Quran

Umat Islam digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada malam-malam yang mulia sebagai tanda pengabdian kepada Allah SWT. Walaupun tiada dalil sahih yang mengkhususkan bacaan Surah ad-Dukhan atau Surah Yasin pada malam Nisfu Syaaban, amalan membaca al-Quran secara umum tetap sangat dituntut.

Dalil:

“Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Bacaan al-Quran menenangkan hati, membersihkan jiwa dan menguatkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya, khususnya ketika berdepan malam yang sunyi dan penuh keinsafan.

2. Menghidupkan malam dengan Qiyamullail

Antara amalan yang dianjurkan ialah solat malam, sama ada solat sunat, solat witir atau doa-doa munajat. Qiyamullail mendidik jiwa agar lebih ikhlas, sabar dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dalil:

“Bangunlah untuk (solat) pada sebahagian malam… sesungguhnya solat malam itu lebih kuat pengaruhnya dan lebih tepat bacaannya.” (Surah al-Muzzammil: 2–6)

Solat malam menjadi ruang peribadi antara hamba dan Tuhan, jauh daripada pandangan manusia, tetapi dekat dengan rahmat Ilahi.

3. Memperbanyakkan istighfar

Malam Nisfu Syaaban juga dikaitkan dengan keampunan Allah SWT. Memperbanyakkan istighfar melambangkan pengakuan seorang hamba terhadap kelemahan diri serta harapan kepada keampunan dan rahmat-Nya.

Dalil:

“Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa’: 106)

Rasulullah ﷺ sendiri beristighfar lebih 70 kali sehari, walaupun Baginda seorang yang maksum.

4. Memanjangkan sujud dan berdoa

Sujud adalah keadaan paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya. Memanjangkan sujud memberi ruang untuk doa-doa yang lahir dari hati yang tunduk dan penuh harap.

Dalil:

“Keadaan yang paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa.”
(Hadis riwayat Muslim)

Malam Nisfu Syaaban menjadi peluang terbaik untuk memohon keampunan, kesihatan, kesejahteraan hidup serta kebaikan dunia dan akhirat.

5. Menziarahi kubur

Ziarah kubur dianjurkan untuk melembutkan hati dan mengingatkan manusia tentang hakikat kematian serta kehidupan akhirat.

Dalil:

“Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”
(Hadis riwayat Muslim)

Amalan ini membantu seseorang untuk lebih bersedia menghadapi kematian dengan memperbaiki amal dan akhlak.

6. Bersedekah

Sedekah adalah antara amalan yang sangat digalakkan pada setiap masa, lebih-lebih lagi pada malam yang diharapkan keberkatannya.

Dalil:

“Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai seratus biji.”
(Surah al-Baqarah: 261)

Sedekah membersihkan harta, melembutkan hati dan menjadi sebab datangnya rahmat serta kelapangan rezeki.

7. Mengimarahkan masjid dan surau

Berkumpul di masjid dan surau untuk ibadah berjemaah, bacaan al-Quran dan tazkirah dapat menghidupkan suasana keilmuan dan ukhuwah Islamiah, di samping mempersiapkan jiwa menyambut kedatangan Ramadan.

Dalil:

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah at-Taubah: 18)

Kesimpulannya, malam Nisfu Syaaban bukanlah malam untuk dipertikaikan, tetapi malam untuk diisi. Selagi amalan yang dilakukan berlandaskan dalil umum syarak, tidak disertai kepercayaan yang bercanggah dengan akidah, dan dilakukan dengan penuh keikhlasan, ia termasuk dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pengajaran yang boleh diambil daripada bulan nisfu Syaaban ini ialah umat Islam perlu membina kesedaran bahawa nilai sesuatu masa di sisi Allah SWT tidak bergantung kepada populariti atau perhatian manusia. Bulan Syaaban yang sering dilalaikan sebenarnya sarat dengan peristiwa besar seperti tahwilul qiblah dan seruan memperbanyakkan selawat, yang menuntut ketaatan mutlak, keutuhan akidah serta kecintaan kepada Rasulullah SAW. Ini mengajar umat Islam agar tidak bersikap selektif dalam ibadah hanya pada waktu-waktu tertentu seperti Ramadan semata-mata, sebaliknya konsisten menghargai setiap peluang yang Allah SWT sediakan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Selain itu, bulan nisfu syaaban ini mendidik umat Islam supaya menjadikan bulan Syaaban sebagai medan persediaan rohani dan muhasabah diri sebelum memasuki Ramadan. Amalan seperti qiyamullail, istighfar, sedekah, ziarah kubur dan pengimarahan masjid bukan sahaja membentuk kekuatan spiritual, bahkan menyuburkan sifat rendah diri, keinsafan dan keprihatinan sosial. Malam Nisfu Syaaban khususnya mengingatkan bahawa kehidupan manusia sentiasa berada di bawah ketentuan Allah SWT, justeru setiap Muslim wajar bersungguh-sungguh memperbaiki hubungan dengan Allah dan sesama manusia agar dikurniakan keampunan, rahmat serta ketetapan takdir yang baik di dunia dan akhirat.

 

 

Dr. Mohd Shafiq Sahimi

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengajian Islam (Kampus Pagoh)

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal

Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)