Johor kini berada pada satu persimpangan penting dalam sejarah pembangunannya. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negeri ini semakin menonjol sebagai destinasi pelaburan ekonomi digital, khususnya dalam industri pusat data, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan. Pelaburan berskala besar, infrastruktur bertaraf antarabangsa serta kedudukan strategik Johor yang berdekatan dengan Singapura meletakkan negeri ini dalam kedudukan yang sangat kompetitif. Namun persoalan yang lebih mendasar perlu diajukan. Sejauh mana generasi baharu Johor benar-benar bersedia untuk memanfaatkan peluang ini.
Perbincangan mengenai ekonomi digital sering tertumpu kepada aspek fizikal seperti bilangan pusat data, nilai pelaburan dan kecanggihan teknologi. Semua ini penting, tetapi ia bukan penentu utama kejayaan. Pengalaman di pelbagai negara menunjukkan bahawa teknologi tanpa kesiapsiagaan manusia berisiko melahirkan pertumbuhan yang bersifat tidak seimbang. Faktor paling kritikal terletak pada kualiti modal insan dan tahap literasi digital tenaga kerja tempatan.
Ekonomi digital Johor bukan lagi agenda masa depan, tetapi realiti semasa. Industri pusat data, automasi dan aplikasi kecerdasan buatan berkembang dengan pantas. Namun sifat industri ini berbeza daripada sektor tradisional. Ia tidak mencipta pekerjaan dalam jumlah besar, sebaliknya menuntut kemahiran yang tinggi dan khusus. Sekiranya tenaga kerja tempatan tidak cukup bersedia, peluang bernilai tinggi ini berpotensi diisi oleh tenaga luar, manakala anak muda tempatan hanya terlibat dalam peranan sokongan.
Hakikat yang perlu diakui ialah majoriti belia hari ini sudah celik teknologi pada tahap asas. Penggunaan telefon pintar, akses internet dan kemahiran ICT umum bukan lagi isu utama. Namun celik digital tidak semestinya bermaksud bersedia untuk ekonomi digital. Jurang sebenar terletak pada kekurangan kemahiran teknikal bernilai tinggi yang diperlukan oleh industri pusat data dan teknologi moden. Industri hari ini tidak sekadar memerlukan pengguna teknologi, tetapi individu yang memahami bagaimana sistem digital beroperasi, diselenggara dan diurus secara selamat dan cekap.
Dalam konteks Johor, kemahiran digital yang semakin diperlukan merangkumi pengurusan infrastruktur pusat data, kefahaman sistem kuasa dan penyejukan, keselamatan operasi, serta asas pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan. Kemahiran sokongan seperti pengurusan fasiliti digital, pemodelan bangunan, analitik data dan automasi proses turut menjadi semakin penting dalam menyokong keseluruhan ekosistem ekonomi digital. Tanpa pendedahan praktikal kepada kemahiran ini, graduan berpotensi berdepan ketidakpadanan pekerjaan walaupun peluang tersedia di depan mata.
Pengalaman di negara maju seperti Amerika Syarikat, China dan Korea Selatan menunjukkan bahawa kemajuan teknologi yang pesat tanpa persediaan manusia yang menyeluruh berpotensi menghasilkan pertumbuhan yang tidak seimbang. Walaupun pelaburan besar dalam kecerdasan buatan, pusat data dan infrastruktur digital menyumbang kepada inovasi dan pertumbuhan ekonomi, manfaatnya sering tertumpu di kawasan dan kelompok tertentu. Jurang literasi teknologi serta keperluan kemahiran yang semakin khusus menyebabkan sebahagian belia dan tenaga kerja sukar menyertai sektor berpendapatan tinggi. Pengalaman ini menjadi peringatan bahawa ekonomi digital memerlukan pelaburan yang setara dalam pembangunan manusia agar kemajuan teknologi dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan yang lebih inklusif.
Di sinilah peranan universiti dan institusi latihan menjadi semakin kritikal. Institusi pengajian tinggi tidak perlu melahirkan semua graduan sebagai pakar teknologi atau jurutera perisian. Apa yang lebih mendesak ialah memastikan setiap graduan memiliki literasi data yang kukuh, memahami asas penggunaan dan batasan kecerdasan buatan, serta mampu bekerja dalam persekitaran digital sebenar. Kemahiran mentafsir data, menggunakan sistem digital industri dan membuat keputusan berasaskan maklumat kini menjadi keperluan merentas semua bidang, bukan hanya bidang teknologi.
Usaha merapatkan jurang antara pendidikan dan industri sememangnya telah dimulakan melalui pelbagai program latihan dan kerjasama strategik. Namun cabaran sebenar terletak pada skala, kesinambungan dan tahap keselarasan dengan keperluan industri semasa. Latihan yang bersifat terpisah dan jangka pendek sering kali sukar menghasilkan impak yang berkekalan. Pendekatan yang lebih sistemik diperlukan bagi menghubungkan pendidikan formal, latihan teknikal dan pengalaman industri secara berterusan.
Dalam masa yang sama, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar tidak boleh dipandang ringan. Akses kepada teknologi, kemudahan pembelajaran digital dan pendedahan awal masih tidak seimbang. Sekiranya keadaan ini berterusan, ekonomi digital berisiko mewujudkan bentuk ketidaksamaan baharu. Pembangunan yang benar benar mampan perlu memastikan peluang digital dapat diakses oleh generasi muda dari pelbagai latar belakang, bukan tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.
Isu saliran otak turut memerlukan perhatian serius. Kedudukan Johor yang hampir dengan Singapura membuka peluang kerjaya rentas sempadan, tetapi pada masa yang sama mencabar keupayaan negeri untuk mengekalkan bakat tempatan. Tanpa ekosistem pekerjaan yang menawarkan laluan kerjaya jelas, ganjaran yang setimpal dan persekitaran kerja yang kondusif, bakat muda berpotensi terus mencari peluang di luar negeri ini. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mengehadkan manfaat sebenar pelaburan digital kepada negeri.
Selain kemahiran teknikal, ekonomi digital menuntut kemahiran insaniah yang kukuh. Keupayaan berkomunikasi, bekerja dalam pasukan pelbagai disiplin, membuat keputusan beretika serta menyesuaikan diri dengan perubahan menjadi semakin penting. Pendidikan yang terlalu menekankan aspek teknikal tanpa pembangunan pemikiran kritikal dan nilai profesional berisiko melahirkan tenaga kerja yang cekap tetapi rapuh dari segi daya tahan jangka panjang.
Kejayaan ekonomi digital Johor tidak wajar diukur semata mata melalui bilangan pusat data atau jumlah pelaburan yang diumumkan. Ukuran sebenar terletak pada sejauh mana anak muda Johor mampu menjadi pemain utama dalam ekosistem digital, bukan sekadar pemerhati. Ini memerlukan pelaburan berterusan dalam pendidikan, latihan dan pembinaan budaya kerja yang menghargai pembelajaran sepanjang hayat.
Menjelang 2030, Johor mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai model ekonomi digital yang inklusif dan mampan. Namun peluang ini hanya akan menjadi realiti jika pembangunan manusia diberi keutamaan yang setara dengan pembangunan teknologi. Ekonomi digital membuka pintu, tetapi manusialah yang menentukan sama ada kita melangkah masuk atau terus berdiri di ambang.

Dr. Noor Aslinda Abu Seman
Pensyarah Kanan
Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 14), 28 Januari 2026: Ekonomi digital Johor perlu seiring pembangunan manusia

2. Utusan (utusan.com.my), 28 Januari 2026: Ekonomi digital Johor perlu seiring pembangunan manusia
https://www.utusan.com.my/rencana/2026/01/ekonomi-digital-johor-perlu-seiring-pembangunan-manusia/
