Saban tahun pelajar-atlet di Malaysia sering terperangkap dalam dilema yang cukup perit yang mana mereka perlu memilih antara kecemerlangan akademik atau mengejar kegemilangan sukan. Jadual kuliah yang padat selalunya “berperang” dengan tuntutan latihan pusat dan kejohanan antarabangsa. Namun, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang baru dilancarkan memberi sinar baharu bahawa dilema ini bakal berakhir. Jika kita teliti pelan strategik kementerian ini, jelas bahawa transformasi yang dirancang bakal menjadi game-changer buat wira sukan kita. Kelebihan paling ketara buat pelajar-atlet dalam RPTM adalah peralihan daripada “Pendidikan Berstruktur” kepada “Pendidikan Fleksibel.” Dokumen ini secara jelas menyebut tentang konsep “unbundling of education” atau penguraian pendidikan yang membolehkan pelajar belajar mengikut rentak sendiri melalui laluan yang lebih anjal.

Bayangkan seorang atlet kebangsaan yang sedang gigih berlatih untuk Sukan SEA atau Olimpik. Semester tradisional selama 14 minggu biasanya menjadi beban. Namun, melalui Lonjakan 8 (Pendidikan Fleksibel dan Pembelajaran Sepanjang Hayat), program modular dan Micro- Credentials diperkenalkan. Maknanya, atlet boleh mengumpul kredit pengajian dalam tempoh yang lebih lama atau berehat seketika ketika musim kejohanan tanpa perlu rasa rendah diri kerana dianggap “tercicir”. Malah, melalui APEL, segala disiplin dan kemahiran yang mereka asah di padang atau balapan boleh diiktiraf sebagai sebahagian daripada portfolio akademik. RPTM memberi penekanan untuk melahirkan bakat yang “adaptif, tangkas dan berdaya tahan.” Sebenarnya, tidak ada kumpulan yang lebih melambangkan ciri-ciri ini selain atlet berprestasi tinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu melahirkan bakat yang “berpusatkan kemanusiaan” seimbang dari segi intelek, emosi, dan fizikal selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pelajar-atlet adalah contoh hidup bagi konsep ini. Mereka sudah terbiasa dengan “mentaliti juara,” tahu bagaimana bangkit daripada kekalahan, dan pantas menyesuaikan diri dengan strategi baharu. Kompetensi inilah yang sangat dicari dalam pasaran kerja masa hadapan. Dengan menyelaraskan pencapaian sukan mereka dengan kriteria graduan yang diingini, pelajar-atlet kini boleh dilihat sebagai “bakat sedia masa hadapan” yang sangat bernilai. Dunia sukan kompetitif memang penuh dengan tekanan yang boleh membawa kepada kelesuan (burnout). Sebelum ini, sistem sokongan universiti lebih tertumpu kepada hal-hal akademik. Namun, RPTM kini meletakkan “kesihatan mental dan kesejahteraan” sebagai fokus utama. Cadangan penubuhan kerangka Kesihatan Mental Pendidikan Tinggi Kebangsaan adalah satu langkah besar. Bagi pelajar-atlet, ini bermakna universiti kini lebih peduli tentang kesihatan emosi mereka, bukan sekadar melihat kepada gred atau pingat. Sokongan psikologi yang konsisten dan berkesan akan memastikan mereka mampu kekal fokus dan sihat, baik di dalam bilik kuliah mahupun di gelanggang.

Tiada atlet yang mampu hebat tanpa fasiliti yang menyokong. RPTM komited untuk menaik taraf infrastruktur kampus supaya lebih moden dan mampan. Di samping itu, menerusi Lonjakan 7 (Keunggulan Global), universiti kita mahu lebih menyerlah di peringkat antarabangsa. Di sinilah pelajar-atlet memainkan peranan sebagai “duta kecil” negara. Apabila universiti memperkukuh kerjasama global, atlet yang bertanding di luar negara secara tidak langsung mempromosikan jenama pendidikan Malaysia. Ini adalah satu bentuk “diplomasi pendidikan” yang cukup berkesan.

RPTM 2026–2035 bukan sekadar dokumen polisi yang tebal, ia adalah satu manifesto untuk “membebaskan” potensi pelajar-atlet kita. Dengan sistem yang menghargai masa yang fleksibel, kesejahteraan holistik, dan kekuatan karakter, Malaysia kini di landasan tepat untuk memastikan kejayaan menggulung ijazah dan memenangi pingat emas bukan lagi dua pilihan yang mustahil untuk dicapai serentak. Kerangkanya sudah pun siap dan telah di war warkan kini masanya untuk pihak universiti melaksanakannya agar peluang ini benar-benar dirasai oleh mereka yang berjuang di atas podium.

 

 

Dr. Mohd Zulfadli bin Rozali

Pensyarah Kanan

Fakulti Pendidikan Teknikal & Vokasional (FPTV)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)