BANGKOK – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila dua pelajar Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan inovasi berprestij Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2026) sempena Thailand Inventors’ Day 2026 yang berlangsung pada 5 hingga 9 Januari 2026 lalu.
Kejayaan membanggakan itu telah diraih oleh pelajar PhD, Hong Peck Keong yang juga bekas Penasihat Industri FAST serta pelajar sarjana, Wesley Goh Yi Yong.
Kedua-dua mereka di bawah seliaan pensyarah, Prof. Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani dengan kerjasama strategik rakan inovasi dari Indonesia,Taufik Sulaeman.
Pertandingan IPITEx yang diadakan di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), Bangkok, Thailand itu merupakan salah satu platform inovasi antarabangsa yang menghimpunkan pencipta dan penyelidik dari seluruh dunia.
Pada tahun ini, pertandingan tersebut menyaksikan lebih 1000 penyertaan inovasi daripada pelbagai kategori serta penyertaan dari 24 buah negara, menjadikan saingannya amat sengit dan kompetitif.
Kemenangan pingat emas oleh pasukan FAST UTHM itu sekali gus membuktikan kemampuan inovator muda UTHM untuk bersaing di peringkat global serta membawa nama universiti dan Malaysia ke pentas antarabangsa.
Inovasi yang dipertandingkan oleh pasukan FAST UTHM bertajuk “Digitalizing the Monitoring of Availability, Performance, and Quality (OEE) through Data Analytics and the Development of New Manufacturing System Approach”.
Inovasi itu memfokuskan kepada pendigitalan pemantauan Overall Equipment Effectiveness (OEE) melalui pendekatan analitik data dan pembangunan sistem baharu dalam persekitaran pembuatan moden.
Ia bertujuan meningkatkan kecekapan operasi industri dengan pemantauan prestasi yang lebih sistematik, tepat dan berasaskan data.
Pasukan itu juga turut menerima pengiktirafan rasmi melalui sijil penghargaan bagi pembentangan inovasi tersebut di pentas antarabangsa.
Dr. Suliadi berkata kejayaan itu membuktikan komitmen UTHM khususnya FAST dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi dan jaringan kolaborasi antarabangsa.
”Ia juga mencerminkan kemampuan pelajar pascasiswazah UTHM untuk bersaing di peringkat global serta menyumbang kepada pembangunan teknologi masa hadapan.
”Saya mewakili fakulti berharap kejayaan ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi berimpak tinggi yang mampu dikomersialkan serta memberi manfaat kepada industri dan masyarakat,” katanya.




Berita ini juga diterbitkan di:
1. Utusan (utusan.com.my), 23 Januari 2026: Pelajar UTHM harumkan nama Malaysia, raih emas di IPITEx Bangkok 2026
