Oleh Ts. Ahmad Anwar Safwan Sidek, Ts Muhammad Firdaus Md Rawi

PAGOH Penganjuran ‘Furniture Exhibition: Empowering Eco-Conscious Design and Responsible Consumption (FEEDER) 2026’ yang berlangsung pada 15 dan 16 Januari lalu di Kolej Kediaman Kampus Pagoh, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi platform penting dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan perabot berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pameran itu menampilkan 19 hasil kerja Projek Sarjana Muda (PSM) pelajar tahun akhir daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Setiap projek yang dipamerkan mencerminkan gabungan kemahiran teknikal, kreativiti reka bentuk, kefahaman pasaran serta penerapan elemen kelestarian dan penggunaan bertanggungjawab.

FEEDER 2026 bukan sekadar pameran akademik, malah berperanan sebagai platform strategik yang menghubungkan pihak akademia dan industri.

Melalui pameran dan pembentangan projek, pelajar berpeluang mempamerkan kebolehan mereka secara profesional, selain membina kemahiran komunikasi, pengurusan projek dan keyakinan diri yang penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

Majlis perasmian FEEDER 2026 pada 15 Januari lalu telah disempurnakan oleh Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dr. Afandi Ahmad.

Beliau dalam ucapannya berkata penganjuran program seumpama ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

“Sokongan padu daripada pihak industri, badan profesional, agensi kerajaan, panel penasihat program dan alumni amat dihargai kerana input yang diberikan membantu memastikan hasil kerja pelajar selari dengan kehendak pasaran.

“Maklum balas industri juga penting dalam meningkatkan kualiti projek serta potensi kebolehpasaran graduan selepas tamat pengajian,” katanya.

Prof. Afandi juga menasihatkan para pelajar yang bakal menamatkan pengajian agar sentiasa bersedia mendepani cabaran sebenar alam pekerjaan serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi pelajar yang masih berada di kampus, beliau menggalakkan penglibatan aktif dalam program seperti FEEDER yang bukan sahaja membangunkan kemahiran teknikal, malah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi profesional.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah dan pihak fakulti atas komitmen berterusan dalam membimbing pelajar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali dan projek sebenar.

“Terima kasih kepada kepimpinan fakulti serta seluruh pasukan akademik yang komited dalam memastikan kualiti program TVET sentiasa relevan dengan perkembangan industri,” katanya.

Pameran FEEDER 2026 turut mendapat penyertaan wakil beberapa syarikat industri perabot yang hadir sebagai pempamer dan rakan industri yang menawarkan peluang latihan industri, antaranya Futuristic Store Fixtures Sdn. Bhd. dan Meranti Furniture Sdn. Bhd., sekali gus membuka peluang kerjaya kepada graduan.

Turut hadir memeriahkan pameran, Profesor Madya Dr. Md Asril Nasib Masrom, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Profesor Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan serta wakil industri dan institusi pendidikan.